Petugas kesihatan memasukkan data yang diperoleh selepas ujian makmal dijalankan ke atas sampel calitan orang ramai ketika saringan komuniti Covid-19 percuma di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Taman Batu Tiga, Subang Jaya pada 13 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor rekod 551 kes Covid-19, satu kematian

SHAH ALAM, 13 MAC: Kes positif Covid-19 di Selangor hari ini menurun kepada 551 kes berbanding 751 yang direkodkan semalam, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagaimanapun negeri itu kekal mencatat angka tertinggi dalam negara dengan 473 kes dikesan daripada kluster sedia dan saringan kontak rapat.

“Jumlah itu termasuk sembilan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara dan 69 kes lain-lain saringan,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata satu kes kematian turut direkodkan di Selangor membabitkan lelaki warganegara berusia 53 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, menjadikan jumlah korban akibat wabak 313 orang.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menerusi Facebook memaklumkan sebanyak 787 kes pulih menjadikan keseluruhan sembuh 105,812.

“Kes aktif yang sedang dirawat pula sebanyak 2,294 dengan 17 daripadanya jangkitan luar negara,” katanya.


Pengarang :