Petugas Kesihatan Selcare melakukan ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti Covid-19 secara bersasar di Dewan Serbaguna Kuang, Gombak pada 21 Mei 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Saringan Komuniti berpandu sains dan data, rakyat diajak sertai

SHAH ALAM, 21 MEI: Pendekatan Selangor memerangi virus Covid-19 menerusi Saringan Komuniti secara besar-besaran dibuat berdasarkan data dan sains.

Justeru, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menggesa orang ramai menyertai saringan percuma itu bagi menangani pandemik berkenaan.

“Kita mesti bekerjasama untuk mengatasi virus ini. Sertailah inisiatif ujian percuma sekarang untuk memenangi pertempuran melawan Covid-19 ini,” katanya  di Facebook hari ini.

Semalam, presiden Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia menyifatkan saringan yang dijalankan Kerajaan Selangor tindakan tepat bagi menjejak Covid-19 dalam kalangan masyarakat

Prof Dr Zamberi Sekawi berkata lebih ramai individu akan dijangkiti wabak jika langkah itu tidak dilakukan berikutan terdapat banyak kes tidak bergejala, lapor The Star.

Sejak 8 Mei lalu hingga 10 Jun ini, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif di seluruh 56 DUN menggunakan kit ujian pantas antigen (RTK-Ag).

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat negeri ini yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan mereka.

Hasil saringan 14 DUN sekitar Hulu Langat dan Gombak, seramai 1,171 daripada 20,000 individu yang menjalani ujian itu berkemungkinan positif.


Pengarang :