Selangorkini
AGENDA SUKANKINI

Cools yakin rakan sepasukan sedia berdepan Vietnam

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Pemain kacukan Malaysia-Belgium Dion Cools percaya rakan sepasukan dalam Harimau Malaya, telah pun bersedia menghadapi perlawanan hidup-mati menentang Vietnam bagi perlawanan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, malam ini.

Cools, 24, berkata, selepas kekalahan kepada UAE minggu lepas, pasukan itu telah bekerja keras sepanjang minggu dalam sesi latihan bagi memperbaiki kelemahan pasukan, selain menganalisis perlawanan pasukan lawan.

“Ia suatu yang bagus untuk keseluruhan pasukan bersedia hadapi perlawanan ini yang amat penting bagi kami. Saya rasakan pasukan telahpun bersedia dan saya berharap yang kami dapat bermula dengan pantas dan berharap kami akan dapat catatkan keputusan yang bagus,” katanya kepada pemberita pada sidang media sebelum perlawanan, di Dubai, tengah malam semalam.

Malaysia akan bertemu Vietnam yang mahu mengekalkan rekod tanpa kalah mereka pada kempen kelayakan ini kepada tujuh perlawanan di Stadium Al Maktoum, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Harimau Malaya di bawah bimbingan Tan Chen Hoe sebelum ini tewas 0-4 kepada UAE.

“Tentu sekali jika anda kalah 4-0, ia sesuatu yang sukar untuk mengatakan yang anda bermain dengan baik, kerana anda menang sebagai satu pasukan dan kalah juga sebagai satu pasukan. Mungkin saya puas hati (prestasi individu), namun apa yang pening ialah anda mahu menang perlawanan,” kata Cools.

Mengenai pertemuan dengan Vietnam, Cools akan pertama kali berhadapan dengan pasukan bimbingan Park Hang-seo berkata, kekuatan pasukan ‘Golden Dragon’ itu ialah keupayaan untuk bermain dengan pantas dan sekali gus akan mencabar kekuatan fizikal dan minda pemain kebangsan dalam perlawanan itu.

“Ia satu cabaran besar bagi hadapi pertahanan mental, kami berlatih pelbagai taktik bagi hadapinya, dan terpulang kepada kami esok untuk tunjukkan apa yang telah kami berlatih dan lakukannya atas padang,” katanya.

Sementara itu Cheng Hoe berkata, pasukannya telah menunjukkan peningkatan dalam permainan secara individu dan berpasukan.

“Saya rasa (selepas) persediaan beberapa hari, latihan beberapa hari, saya rasakan pemain saya bersedia untuk perlawanan esok menentang Vietnam. Kami tahu yang kami tidak mendapat keputusan yang bagus menentang UAE, saya percaya pemain saya telah perbaiki prestasi mereka,” katanya.

Selepas enam perlawanan, Vietnam kini mendahului kumpulan dengan 14 mata, diikuti UAE (12 mata), Thailand (sembilan mata) dan Malaysia keempat (juga sembilan mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot dengan satu mata.

Sebelum ini, pasukan kebangsaan di bawah bimbingan Cheng Hoe hanya mencatatkan satu seri dan kalah empat kali pada empat pertemuan terakhir menentang Vietnam dengan Malaysia tewas 0-1 pada perlawanan pertama kumpulan G di Hanoi pada Oktober 2019.

-BERNAMA


Pengarang :