Orang ramai menunggu giliran untuk membuat saringan Covid-19 secara percuma di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching, Kuala Selangor pada 7 Jun 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kudung bukan halangan, OKU tunggang motor sendiri jalani saringan

KUALA SELANGOR, 7 JUN: Hilang kaki kanan akibat kemalangan jalan raya hampir 25 tahun lalu bukan halangan buat seorang lelaki kelainan upaya (OKU) menyertai Saringan Komuniti.

Meskipun bergantung dengan tongkat untuk berjalan, Azman Tauhid, 49, mahu memastikan dirinya bebas jangkitan Covid-19 berikutan bimbang penularan wabak tersebut.

“Alhamdulillah proses saringan berjalan lancar dan petugas banyak membantu golongan OKU. Semoga inisiatif Kerajaan Negeri ini diteruskan pada masa akan datang,” katanya yang menunggang motosikal sendirian.

Azman Tauhid

Dia antara ribuan peserta yang hadir untuk menjalani ujian Covid-19 secara percuma di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah di sini.

Sementara itu, warga emas Abdul Aziz Yakob, 68, bersama isteri dan anaknya memilih untuk membuat saringan berikutan dia antara golongan berisiko.

“Pertama kali buat ujian calitan ini tidak sakit dan sekejap sahaja. Saya sarankan mereka yang belum pernah buat manfaatkan peluang disediakan ini,” katanya yang menetap di Kapar.

Seorang lagi peserta Noraini Malan, 49, bersama anak dan cucunya mengambil langkah berjaga-jaga meski tidak mengalami sebarang gejala.

Noraini Malan (dua, kanan) bersama anak dan cucunya

“Tidak salah kita mengambil langkah berjaga-jaga sebab tidak mahu menjadi ‘pembawa senyap’ Covid-19,” katanya.

Kerajaan Selangor giat menjalankan program saringan percuma di seluruh 56 Dewan Undangan
Negeri (DUN) sejak 8 Mei hingga 10 Jun.

Program yang memanfaatkan penduduk berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang
status kesihatan diri selesai dijalankan di 50 DUN setakat ini.


Pengarang :