Setiausaha Mais Dr Ahmad Shahir Makhtar (tiga, kanan) menyerahkan pek makanan kepada Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital UiTM Prof Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail (empat, kanan) di Dewan Berlian, UiTM Puncak Alam pada 22 Jun 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mais sedia 7,300 pek makanan, hargai petugas hadapan

KUALA SELANGOR, 22 JUN: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) memperuntuk RM28,350 untuk bantuan makanan kepada 7,300 petugas barisan hadapan seluruh negeri bagi menghargai pengorbanan mengawal penularan Covid-19.

Setiausahanya Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata bantuan berupa roti dan air minuman diagih sejak minggu lalu kepada petugas di 10 pusat pemberian vaksin, pejabat kesihatan daerah (sembilan) serta 10 hospital.

“Sumbangan ini sebagai tanda sokongan dan prihatin kepada mereka yang bertungkus-lumus mengekang Covid-19 dari awal tahun lalu. Walaupun bantuan kecil bagi kami, tetapi memberi makna cukup besar untuk mereka.

“Kita berterima kasih kepada umat Islam yang membantu memberi sumbangan kepada Mais untuk disalur kepada pihak memerlukan seperti ini dan diharap dapat meringankan beban semasa bertugas,” katanya selepas menyerahkan bantuan itu di Dewan Berlian Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam di sini hari ini.

Sebanyak 300 pek makanan untuk petugas di PPV berkenaan diserahkan kepada Timbalan Pengarah (Klinikal) Hospital UiTM Prof Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail.

Sementara itu, Dr Ahmad bangga dan berterima kasih atas bantuan tersebut dan sedikit sebanyak dapat menampung bekalan makanan di PPV berskala mega yang beroperasi sejak tiga minggu lalu.

“Insya-Allah, kami akan agihkan kepada semua petugas di sini memandangkan bukan hanya staf UiTM yang ada sebaliknya penglibatan sukarelawan dari agensi lain yang turut membantu untuk melandaikan jangkitan Covid-19,” katanya.


Pengarang :