Petugas kesihatan mengusung jenazah mangsa Covid-19 untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selatan di Presint 20, Putrajaya pada 25 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes kematian sebelum tiba di hospital naik tujuh kali ganda

SHAH ALAM, 2 JULAI: Kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) naik tujuh kali ganda sejak April sehingga Jun tahun ini.

Ketua pengarah kesihatan memaklumkan analisa Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) mendapati pada April sebanyak 35 kes BID dilaporkan, namun jumlah itu meningkat kepada 246 kes pada Jun.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan berkata kebanyakan kes BID adalah dari kumpulan umur 50 hingga 70 tahun.

Secara keseluruhan, katanya, sebanyak 670 kes BID dilaporkan dalam negara dengan 136 kes pada tahun lalu dan 534 kes pada tahun ini setakat Jun.

Tiga negeri yang merekodkan kes BID tertinggi pada tahun ini adalah Selangor iaitu 181 kes diikuti Sabah (85) dan Kuala Lumpur (78).

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata bilangan kematian akibat Covid-19 pada hari ini menurun kepada 73 kes berbanding 84 kes semalam.

Katanya, Selangor kekal menjadi penyumbang terbesar kematian iaitu 29 kes diikuti Negeri Sembilan (13), masing-masing (lima) di Kuala Lumpur dan Sabah, masing-masing (empat) di Johor, Pahang, dan Sarawak, Labuan (tiga), masing-masing (dua) di Kelantan dan Pulau Pinang, serta masing-masing (satu) di Melaka dan Kedah.


Pengarang :