Penyelaras DUN Sementa Mohd Saadon Muah (kiri) meninjau proses suntikan pelalian Covid-19 dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sementa di Hotel De Palma Shah Alam pada 11 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Sementa sedia kenderaan, kos minyak bantu penduduk ke PPV

SHAH ALAM, 11 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa menyediakan kenderaan serta kos minyak untuk mudahkan penduduk hadir ke Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Hotel De Palma Seksyen 19.

Penyelarasnya Mohd Saadon Muah berkata bantuan ditawarkan kepada individu yang berdepan masalah pengangkutan memandangkan lokasi pusat pemberian vaksin (PPV) itu agak jauh dari DUN terbabit.

“Penduduk yang perlukan bantuan ini boleh maklumkan kepada ketua kampung. Kita pernah bercadang lakukan proses suntikan dalam DUN sahaja namun ada kekangan dari aspek lokasi serta petugas.

“Begitu juga dengan penyediaan bas, kita kena fikirkan proses sanitasi. Sebab itu kita rasa PPV ini sesuai walaupun jauh cuma kita perlu sediakan sejumlah kos sebagai bantuan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd Saadon berkata lebih 1,000 penduduk Sementa dijangka menerima manfaat program percuma anjuran Kerajaan Selangor itu.

“Pada mulanya kita terima pendaftaran seramai 2,600 individu tetapi jumlahnya berkurang kerana ramai dah terima pelalian PICK (Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan) sebelum program ini berlangsung,” katanya.

Kerajaan Negeri melancarkan Selvax pada Jun bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos RM200 juta dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK.


Pengarang :