Penerima suntikan vaksin Covid-19 kelihatan ceria selepas menerima suntikan tersebut semasa program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sungai Kandis di Hotel De Palma Shah Alam pada 3 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih dua juta penduduk Selangor lengkap terima vaksin

SHAH ALAM, 12 OGOS: Seramai 2.1 juta rakyat Selangor lengkap menerima vaksin Covid-19 setakat hari ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu melibatkan peratusan 44.1 penduduk manakala dos pertama pelalian sudah diberi kepada 3.67 juta individu di negeri ini.

“Menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), sejumlah 5.76 juta dos vaksin telah disuntik di Selangor. Manakala menerusi Program Vaksin Selangor atau Selvax, tambahan sebanyak 270,696 dos telah diberi,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu pada sidang media beliau memaklumkan kes Covid-19 kategori tiga hingga lima akan menurun hujung bulan ini atau September susulan proses vaksinasi direncanakan.

Pada 16 Julai, Amirudin berkata semua warga Selangor yang mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Bagi mempercepatkan kadar vaksinasi penduduk, Kerajaan Selangor turut melancarkan Selvax pada Jun dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.

Usaha melibatkan kos RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka PICK.


Pengarang :