Persembahan bertemakan Keluarga Malaysia oleh artis budaya pada sambutan Hari Malaysia 2021 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada 16 September 2021. Foto BERNAMA
BUDAYARENCANA

Semenanjung, Sabah, Sarawak berdiri sama tinggi, duduk sama rendah

Berdiri sama tinggi, duduk sama rendah sentiasa menjadi cita-cita bersama semua wilayah ketika mendirikan Malaysia pada 1963. Ia dirakam dalam memorandum 20 Perkara, dokumen Perjanjian Malaysia dan penggubalan Perlembagaan Persekutuan yang baharu.

Walau pengisytiharannya tidak berjaya diraikan bersama pada 31 Ogos tahun itu tetapi cita-cita pembentukannya tetap disemarakkan setiap kali sambutan Hari Malaysia pada 16 September. Hari ini terus mengobarkan hasrat ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’.

Malaysia lahir di tengah pergolakan dunia pascapenjajahan sewaktu semangat kebangsaan bertarung memberi makna kemerdekaan daripada perspektif pertarungan ideologi Perang Dingin.

Wartawan NADIAH ZAMLUS menyusun fakta, peristiwa dan perkembangan penuh liku menjelang pembentukan Malaysia, bukan hanya di Sabah dan Sarawak tetapi juga persaingan kuasa serantau waktu itu.

 

Cadangan pembentukan

– pada 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj cadang gabung Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Singapura namun sebelum itu sudah wujud idea untuk gabungkan wilayah geografi ini, antaranya:

1887 – ahli lembaga pengarah Syarikat Berpiagam Borneo Utara, Lord Brassey cadang gabung negeri Tanah Melayu, Singapura dan wilayah Borneo

1948 – pesuruhjaya besar United Kingdom di Asia Tenggara Malcolm Macdonald dan ahli Majlis Perundangan Singapura Thio Chan Bee kemuka cadangan sama

 

Faktor pembentukan

– bimbang dengan penularan komunis di rantau Asia Tenggara

– bantu Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei capai kemerdekaan lebih cepat

– kukuhkan ekonomi dan stabilkan politik di negeri terlibat

– pupuk perpaduan antara etnik bumiputera dan pelbagai kaum

Jawatankuasa Perunding Perpaduan Malaysia

– ditubuhkan 23 Julai 1961, pengerusinya Donald Stephen, pemimpin utama masyarakat Kadazan dan juga ahli Majlis Perundangan dan Eksekutif Sabah

– berfungsi terangkan konsep Malaysia kepada orang ramai khususnya penduduk Sabah, Sarawak dan Brunei

– adakan empat mesyuarat: di Sabah pada Ogos 1961, Kuching (Disember 1961), Kuala Lumpur (Januari 1962) dan terakhir di Singapura (Februari 1962)

– jawatankuasa setuju kemuka memorandum kepada Suruhanjaya Cobbold, yang ditubuh 17 Januari 1962, supaya dibuat tinjauan pandangan penduduk Sarawak dan Sabah terhadap gagasan Malaysia

 

Sokongan

Singapura

– pemimpin Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lee Kuan Yew sahut cadangan Tunku Abdul Rahman bawa Singapura membentuk Malaysia

– gabungan bolehkan wilayah-wilayah berkembang pesat sebagai pusat perniagaan dan perdagangan terkemuka

– Parti Buruh Singapura setuju penggabungan itu walaupun berpandangan ia rumit dilaksanakan

Britain

– pada 1960, Perdana Menteri Britain Harold Macmillan gesa beri kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahan

– Malaysia akan jadi unit persekutuan besar dan penubuhannya dapat lawan pengaruh komunis yang semakin menular di Asia Tenggara

Sabah

– masyarakat Islam di Sabah terima gagasan Malaysia, antaranya melihat Tanah Melayu sebagai negara Islam besar

– Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), sebuah parti masyarakat Islam, menyokong penuh pembentukan Malaysia antaranya bendung ancaman komunis

– Pertubuhan Kebangsaan Kadazan Bersatu (Unko) menyokong pembentukan Malaysia tetapi dengan beberapa syarat

Sarawak

– Oktober 1962, Parti Negara Sarawak (Panas), Parti Kebangsaan Sarawak (Snap), Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa), Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka) dan Persatuan Cina Sarawak (SCA) gabung bentuk Perikatan Sarawak

– lima parti ini berjuang untuk membentuk Malaysia

 

Suruhanjaya Cobbold

– ditubuh pada 17 Januari 1962, dipengerusi Lord Cobbold, bekas gabenor Bank England

– dianggotai Mohd Ghazali Shafie dan Wong Pow Nee sebagai wakil kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, sementara Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston wakil kerajaan Britain

– diwujud untuk tinjau pandangan penduduk Sabah dan Sarawak, suruhanjaya ini menemui lebih 4,000 orang dan menerima 2,200 memorandum pelbagai pihak antara Februari hingga April 1962

– hasilnya, 80 peratus rakyat Sarawak dan Sabah sokong penubuhan Malaysia

– menerima Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

– pada 21 Jun 1962, laporan Suruhanjaya Cobbold siap dan dikemukakan kepada kerajaan British dan Persekutuan Tanah Melayu

– syorkan penubuhan Jawatankuasa Antara Kerajaan

 

Bantahan

Filipina

– tidak senang Sabah membentuk Malaysia, Filipina putuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia

– sejak awal 1962, presiden Diosdado Macapagal dakwa Sabah sebahagian wilayah Filipina dan warisan Kesultanan Sulu

Brunei

– Sultan Brunei Sultan Omar Ali Saifuddien bersetuju pada mulanya tetapi Parti Rakyat Brunei (PRB) bantah keras gagasan Malaysia pada Disember 1962

– PRB anggap persekutuan akan sedut hasil mahsul dan jajah Brunei untuk kepentingan diri sendiri

– PRB rancang merdekakan wilayah Borneo yang dikuasai Britain bagi tubuhkan Negara Kesatuan Kalimantan Utara (NKKU) sebelum sertai gagasan Malaysia

– akhirnya sultan Brunei tolak rancangan Malaysia

Indonesia

– tentangan bermula pada akhir 1962 dan pembentukan Malaysia dianggap neokolonialisme

– Presiden Sukarno isytihar konfrontasi, lancar slogan Ganyang Malaysia pada 20 Januari 1963

– cuba gagalkan pembentukan Malaysia, antaranya ceroboh ruang udara di Sarawak dan Sabah serta serang nelayan di perairan Johor

– gunakan persidangan Afro-Asia burukkan Malaysia sehingga memaksa Tun Abdul Razak jelajah Afrika bagi jelaskan tohmahan Indonesia

Sabah

– Parti Bersatu, Parti Liberal dan Parti Pasok Momogun Bersatu (UPMP) tolak idea Malaysia

– bimbang penguasaan Melayu di negeri itu pada masa akan datang

Sarawak

– Parti Rakyat Sarawak Bersatu (SUPP) tentang kerana bimbang Sabah dan Sarawak dikuasai Tanah Melayu

– enggan terima Islam sebagai agama rasmi dan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi

 

Jawatankuasa Antara Kerajaan

– dibentuk pada 1 Ogos 1962 susulan syor Suruhanjaya Cobbold, ia dipengerusikan Lord Landsdowne dan timbalannya Tun Abdul Razak Hussein

– bertanggungjawab menyusun Perlembagaan Persekutuan baharu dan perlindungan khas untuk Sabah dan Sarawak

– Sabah dan Sarawak turut kaji keperluan sertai Malaysia dengan membuat beberapa tuntutan untuk menjaga kepentingan mereka

– Tuntutan 20 Perkara dari Sabah (18 Perkara dari Sarawak) antara syarat dua wilayah ini bentuk Malaysia

– Perjanjian Malaysia ditandatangani pada 9 Julai 1963 di London dan pada 16 September pembentukan Malaysia menjadi realiti

– Brunei tidak tandatangan Perjanjian Malaysia pada 9 Julai 1963 bersama Sabah, Sarawak dan Singapura

 

Pungutan suara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB)

– tentangan keras Filipina dan Indonesia dorong PBB hantar rombongan ke Sabah dan Sarawak untuk dapatkan pungutan suara antara 16 Ogos hingga 5 September 1963

– diketuai Lawrence Michelmore, rombongan ini mendapati majoriti rakyat Sabah dan Sarawak sokong gagasan Malaysia

– namun, laporan PBB ini lewat disiapkan, sebabkan pengisytiharan Malaysia yang dicadang pada 31 Ogos ditunda kepada 16 September 1963, dua hari selepas laporan siap

 

Pengisytiharan Malaysia

– upacara diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 16 September 1963

– Tunku Abdul Rahman isytihar Malaysia di hadapan 30,000 rakyat yang hadir untuk meraikan hari bersejarah tersebut

– Beliau laungkan ‘merdeka’ sebanyak tujuh kali berselang seli dengan laungan rakyat

– upacara diakhiri dengan bacaan doa selamat oleh Mufti Negeri Sembilan, Ahmad Mohammad Said

– Singapura dikeluarkan daripada persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965

– pada 3 Jun 1966, Filipina dan Malaysia sambung semula hubungan diplomatik di bawah Presiden Ferdinand Marcos

– pada 11 Ogos 1966, Thailand perantara mendamaikan hubungan Malaysia dan Indonesia

– Perjanjian Malaysia yang mengandungi 11 Perkara didaftarkan di PBB oleh kerajaan UK pada 21 September 1970


Pengarang :