EXCO Pelaburan Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim (empat, kanan) menyampaikan cek cura kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Mohamad Azhan Md Amir (empat, kiri) ketika Majlis Perasmian Penutup penyelidikan, Pembangunan & Inovasi Selangor 2021 pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 21 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

SRIE lonjak usaha Selangor jadi negeri pintar, peduli rakyat

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Penganjuran Ekspo Penyelidikan dan Pembangunan dan Inovasi Selangor (SRIE) merupakan inisiatif Kerajaan Negeri menjadikan Selangor negeri pintar dan penyayang, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ekspo ini dirangkum khas bagi menggembleng elemen penting dalam mengembangkan ekosistem teknologi maju seiring revolusi industri 4.0 yang semakin penting di pasaran global.

“Usaha Kerajaan Negeri dapat melestarikan pembangunan dan kemakmuran simetri, pintar dan peduli rakyat. Ini adalah komitmen Kerajaan Selangor.

“Acara ini akan diteruskan pada tahun-tahun mendatang serta menjadi pusat perhimpunan pakar-pakar teknologi termaju,” katanya pada majlis perasmian penutup SRIE 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim.

Sementara itu, Amirudin berkata SRIE 2021 mengetengahkan lebih 70 syarikat yang memenuhi lebih 100 tapak pameran pelbagai sektor antaranya industri, elektrik dan elektronik, perkhidmatan, sains dan makanan serta minuman.

“Aktiviti pameran dan jalinan perniagaan ini dirangkum bagi membuka lebih peluang syarikat-syarikat teknologi ini dikenal pasti dan dipadankan dengan rakan perniagaan, pelabur, agensi kerajaan dan syarikat lain.

“Jalinan ini amat penting dalam membentuk rantaian nilai yang kaya dengan pelbagai syarikat dan tenaga kerja mahir dalam industri 4.0 termasuk aspek reka bentuk produk dan proses, pembuatan pintar, serta perkhidmatan sokongan berasaskan data dan teknologi digital,”katanya.

SRIE 2021 berlangsung seiring Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 mulai 18 hingga hari ini secara hibrid.

Sebanyak RM11 juta diperuntukkan bagi acara itu meliputi pembangunan dan penyelenggaraan portal perniagaan, selain pemasaran dan pembangunan bagi sembilan acara utama.

 


Pengarang :