Tiga beradik membersihkan kebun cili bapanya yang musnah dalam kejadian banjir di Kampung Seri Tanjung Tujuh, Dengkil, Sepang pada 26 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sektor tani, perikanan rugi lebih RM90 juta akibat banjir

SHAH ALAM, 27 JAN: Sektor pertanian, perikanan dan penternakan merekodkan kerugian lebih RM90 juta setakat ini membabitkan 7,578 pengusaha industri agromakanan atau Wira Agro di seluruh negara susulan bencana banjir pada akhir 2021.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata daripada jumlah itu, Selangor merupakan negeri paling teruk terjejas dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM32.8 juta untuk ketiga-tiga bidang yang membabitkan 1,100 pengusaha.

“Angka ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa apabila survei secara keseluruhan dibuat kerana kerosakan adalah cukup ekstensif sekali,” kata beliau dalam ucapan yang dibacakan oleh Timbalannya Datuk Seri Ahmad Hamzah pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor ke-44 di sini malam tadi.

Beliau berkata dalam konteks PPN Selangor, lebih RM1.9 juta nilai kerugian yang direkod adalah membabitkan 91 projek pertanian di lima kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan iaitu Klang, Kuala Langat, Hulu Langat, Branang dan Sepang.

Ronald juga berharap semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bersama dengan golongan sasar bekerjasama mengadaptasi teknologi dalam bidang pertanian.

“Daya saing sektor pertanian perlu kita pertingkatkan agar dapat menghadapi cabaran di masa mendatang. Tidak kurang penting, kita mesti terus mampu menarik minat golongan muda untuk menceburi industri agromakanan, bukan sekadar menjadi petani tetapi pengusaha yang inovatif, moden dan berkepakaran tinggi.

“Peremajaan sektor agromakanan ini penting agar penggunaan teknologi revolusi industri 4.0 dalam industri agromakanan dapat direalisasikan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :