Orang ramai menghadiri Karnival Kerjaya Mega 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMASELANGOR

Karnival kerjaya bantu syarikat, agensi kerajaan dapat pekerja bersesuaian

SHAH ALAM, 12 JUN: Karnival Kerjaya Mega 2022 membantu Northport (Malaysia) Bhd (Northport) mempromosikan perkhidmatan syarikat itu kepada orang ramai.

Ketua Pampasan dan Ganjaran Fawzie Badli berkata memandangkan lokasi Northport agak jauh di Pelabuhan Klang, menyebabkan syarikat itu kurang diketahui orang ramai.

“Bila kita buka kaunter di sini, ramai berminat nak tahu. Dalam sejam setengah, kita terima hampir 40 permohonan kerja. Ini sesuatu yang bagus bagi syarikat.

“Kali ini kita tawarkan lebih 80 peluang kerja daripada pekerja am hingga eksekutif. Kita akan terus sertai program Kerajaan Selangor ini kerana mudah dapat pekerja berkualiti,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu wakil Penjara Kajang, Inspektor Sohedi Ismail berkata pihaknya mempamerkan barang asas di penjara seperti tali gantung, baju dan keperluan banduan sebagai langkah menarik minat orang awam.

“Ramai tak tahu mengenai penjara. Bila ada program ini, kami memanfaatkannya dengan mengadakan pameran supaya masyarakat memperoleh maklumat tambahan.

“Rupanya ramai berminat. Sejak pagi, kios kami dikunjungi orang ramai. Kami syorkan mereka yang berminat untuk memohon di laman web Suruhanjaya Perkhidmatan Awam,” katanya.

Kerajaan Negeri menganjurkan Karnival Kerjaya Mega 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama dua hari sejak semalam yang menawarkan lebih 20,000 peluang kerja.

Lebih 100 syarikat mengambil bahagian antaranya Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Tidak ketinggalan Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.


Pengarang :