AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor kekal penyumbang utama ekonomi, catat KDNK RM343.5 bilion

SHAH ALAM, 30 JUN: Selangor kekal sebagai negeri penyumbang terbesar ekonomi di negara ini dengan nilai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM343.5 bilion pada tahun lalu.

Menurut infografik Jabatan Perangkaan Malaysia, perolehan itu meningkat RM16.4 bilion berbanding RM327.1 bilion pada 2020.

Prestasi tersebut menyaksikan Selangor kembali pulih tahun lalu apabila merekodkan pertumbuhan 5.0 peratus berbanding pertumbuhan negatif 5.2 peratus pada tahun sebelumnya.

Negeri tersebut mendahului lima negeri lain iaitu Kuala Lumpur, Sarawak, Johor, Pulau Pinang dan Sabah yang menyumbang 72.2 peratus kepada KDNK negara.

Sektor perkhidmatan di Selangor menyaksikan kenaikan 2.2 peratus (2020: -6.6 peratus) yang didorong perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman serta penginapan serta utiliti, pengangkutan dan penyimpanan serta maklumat dan komunikasi.

Bagi sektor pembuatan dengan dibantu produk elektrik, elektronik dan optikal serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik meningkat kepada 13.1 peratus berbanding -0.7 peratus pada 2020.

Sektor pertanian juga bertambah 4.6 peratus kepada 4.9 peratus (2020: 0.3 peratus) dengan diterajui subsektor tanaman, penternakan dan perikanan.

Bagaimanapun, sektor pembinaan menyusut 6.6 peratus (2020: -9.7 peratus) suslan penurunan dalam subsektor kejuruteraan awam.

Infografik Twitter Jabatan Perangkaan Negara.

Pengarang :