AGENSISELANGOR

Ana Raffali meriahkan program merdeka MBI 27 Ogos

SHAH ALAM, 23 OGOS: Penyanyi Ana Raffali antara selebriti yang bakal memeriahkan program sambutan Hari Kebangsaan anjuran Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI pada 27 Ogos.

Selain pemenang Anugerah Juara Lagu 2011 itu, turut serta ialah pemuisi terkenal Pyanhabib dan naib juara program Lawak Solo 2016 Mad Sabah.

Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata program julung kali secara percuma itu akan berlangsung di Blackbox, pusat beli-belah SACC Shah Alam.

“Buat julung kalinya, CSR MBI menganjurkan program berbentuk kesenian bersempena sambutan kemerdekaan tidak lama lagi. Kali ini kita bekerjasama dengan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Selangor.

“Objektifnya untuk mewujudkan budaya kota seni di Shah Alam di samping menyemarakkan semangat bulan kemerdekaan,” katanya ketika dihubungi.

Program bermula 9 malam boleh disertai dengan mendaftar menerusi e-mel [email protected].


Pengarang :