AGENDANASIONAL

SUKMA: 700 sukarelawan bantu MSN jaya temasya

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) — Seramai 700 sukarelawan Satria@Sukan Malaysia akan membantu kelancaran penganjuran temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 MSN 2022 yang bakal membuka tirai pada 16 hingga 24 September.

Pengerusi Jawatankuasa Pengelola temasya sukan berkenaan Datuk Jana Santhiran Muniayan berkata pelancaran program sukarelawan itu hari ini adalah sebagai pelengkap kepada persediaan menjelang temasya tersebut.

“Program sukarelawan ini merupakan satu bentuk kerjasama di antara penganjur sukan iaitu Majlis Sukan Negara bersama sukarelawan yang telah berdaftar dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Sebanyak 10,755 permohonan menjadi sukarelawan diterima dari pelbagai latar belakang. Daripada jumlah itu, seramai 700 orang dipilih untuk membawa jenama Satria@Sukan Malaysia pada penganjuran SUKMA kali ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelepasan Penugasan Satria@Sukan Malaysia di sini, hari ini.

Jana Santhiran berkata kesemua sukarelawan yang terpilih itu telah menjalanai kursus dan akan ditugaskan untuk membantu 13 jawatankuasa kecil Pengelola Sukma di setiap venue pertandingan di sekitar Lembah Klang dan Langkawi.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Setiausaha KBS berkata tahap persediaan bagi penganjuran SUKMA kali ini sudah mencapai 100 peratus.

“Semuanya sudah cukup lengkap, kami rasa tidak akan ada cacat-cela dalam pelaksanaan program pada tahun ini dan kami akan usahakan yang terbaik kepada kontinjen-kontinjen yang bakal mengambil bahagian pada Sukma tahun ini.

“Pasukan-pasukan negeri telah mula membuat pendaftaran dan telah diberikan taklimat tentang perjalanan keseluruhan program yang akan berlangsung kelak. Dari segi persediaan kontinjen, tidak banyak yang perlu dirisaukan, cuma mereka kena tunjukkan yang terbaik di padang kemudian,” katanya.

Jana Santhiran juga memaklumkan lima zon perkampungan sukan disediakan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia akan menjadi zon perkampungan sukan utama.

Katanya, zon perkampungan sukan lain adalah di Universiti Teknologi MARA, Universiti Malaya, Universiti Tenaga Nasional dan di Langkawi. – BERNAMA


Pengarang :