Nik Omar Nik Abdul Aziz (berdiri) diumumkan antara tujuh calon berprofil tinggi untuk mewakili Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ketika sidang media di Petaling Jaya pada 26 Oktober 2022. Foto YUISR YUS/SUARA KEADILAN
AGENDANASIONAL

Anak bawa legasi Nik Aziz, antara tujuh calon profil tinggi KEADILAN

PETALING JAYA, 26 OKT: Anak bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dicalonkan bertanding atas tiket Pakatan Harapan (HARAPAN) di Perak akan membawa legasi tokoh politik itu.

Nik Omar Nik Abdul Aziz, anak kedua bekas menteri Kelantan itu turut berharap dapat memperjuang keadilan kepada semua pihak tanpa mengira kaum.

“Pengumuman tadi adalah ‘wasilah’ bagi menonjolkan kepada rakyat Malaysia bahawa HARAPAN memiliki komitmen tinggi memperjuang keadilan kepada semua rakyat.

“Ini urusan negara untuk kebaikan semua, bukan sahaja untuk keluarga saya sahaja. Saya akan membawa semangat legasi Tok Guru (Nik Abdul Aziz),” kata Nik Omar ditemui di sini hari ini.

Nik Omar antara tujuh calon berprofil tinggi diumumkan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakili parti itu dalam pilihan raya umum ke-15.

Nama-nama lain yang diumumkan ialah Datuk Zainal Azman Abu Seman, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz, Saipolyazan Yusop, Jufitri Joha dan Fathin Amelina Fazlie.

Mereka akan bertanding di Negeri Sembilan, Selangor, Pahang, Perlis dan Wilayah Persekutuan, namun belum dinyatakan kerusi yang akan diwakili.

 


Pengarang :