Selepas filem Bunohan menemui penonton pada 2011, Bront Palarae sekali lagi menjadi taruhan bagi naskhah terbaharu sutradara terkenal tanah air Dain Said menerusi Harum Malam. Foto SELANGORKINI
PERSONALITIRENCANA

Pilih karya berkualiti, Bront teruja jayakan layar seram Harum Malam

Oleh Intan Syuhada Akhir

SHAH ALAM, 20 FEB: Selepas filem Bunohan menemui penonton pada 2011, Bront Palarae sekali lagi menjadi taruhan bagi naskhah terbaharu sutradara terkenal tanah air, Dain Said menerusi Harum Malam.

Menyedari pengarah prolifik seperti Dain hanya menghasilkan filem setiap lima atau enam tahun sekali, Bront enggan terlepas peluang membintangi filemnya yang dianggap berkualiti dan sering menyertai pelbagai festival filem antarabangsa.

Pemilik nama sebenar Nasrul Suhaimin Saifuddin amat berbesar hati menyambut tawaran membawakan watak Norman walau menyedari penonton mungkin akan terimbas persamaan watak lakonannya untuk sebuah produksi Indonesia sebelum ini.

“Saya kena ambil tawaran ini. Dulu saya mahu berlakon dalam Interchange tapi tak ada rezeki. Kitaran akan datang, kalau Dain buat filem, mungkin saya hanya layak bawa watak atuk sahaja,” katanya kepada Selangorkini, baru-baru ini.

Bront mengakui beliau ada melakukan perbincangan dengan Dain di belakang tabir untuk menjadikan watak Norman berbeza dengan karakter Bapak yang dilakonkannya dalam filem seram terkenal Indonesia, Pengabdi Setan. Mana tidaknya, kedua-dua watak ini memegang persamaan karakter seorang bapa yang tinggal di sebuah rumah flat.

Bront Palarae membawakan watak Norman dalam filem Harum Malam yang disiarkan di pawagam pada 9 Februari 2023. Foto Facebook Bront Palarae Official

“Walau ada persamaan, namun pembawakan kedua-dua karakter ini sangat berbeza. Watak ‘Bapak’ dalam Pengabdi Setan lahir daripada kelas sosial kaya yang kemudian jatuh miskin. Ia berbeza dengan watak Norman dalam Harum Malam yang memang berasal daripada keluarga kelas pertengahan. Kedua-dua karakter ini juga mempunyai tujuan dan aspek psikologi yang berbeza.

“Saya dan Dain melakukan beberapa perbincangan semasa latihan dan ia sangat membantu untuk kami mewujudkan beberapa elemen lain. Saya boleh katakan ia sebuah duet mencari titik tengah agar kedua-dua pihak gembira,” katanya.

Dain membawakan genre seram untuk filem Harum Malam yang mana ia mengisahkan seorang kanak-kanak bernama Iqbal yang memiliki keistimewaan boleh melihat makhluk halus.

Kelebihan berkenaan membuatkan Iqbal sering ketakutan sehingga terjebak dalam satu misteri kematian di rumah pangsa tempat tinggalnya.

Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 ini juga mendedahkan beliau tampil berbeza secara fizikal untuk Harum Malam. Dalam tempoh beberapa bulan, Bront berjaya menurunkan berat badan sehingga 14 kilogram (kg).

“Sebelum masuk set, memang kami ada lima minggu untuk lakukan persediaan. Waktu itulah saya diet dan berjaya turunkan berat badan daripada 85 kg kepada 71 kg. Kira-kira dalam 14 kg jugalah saya hilang untuk Harum Malam.

“Selain itu, tiada apa-apa cabaran berat. Paling tak pun cuba mencari keserasian dengan pelakon-pelakon baharu dalam tempoh yang singkat,” jelasnya.

Memahami penonton

Sudah tujuh tahun anak kelahiran Kedah ini mencipta nama di dunia lakon layar Indonesia. Bermula dengan filem Headshot arahan Joko Anwar pada 2016, Bront kemudian diberi kepercayaan membintangi beberapa filem lain seperti Gundala, Ayat-Ayat Cinta 2, dan terkini Pengabdi Setan 1 dan 2.

Bront berharap Harum Malam dapat menciptakan magis yang tersendiri memandangkan Dain cukup bijak mengangkat citra Malaysia dalam karya-karyanya di layar perak.

Bront Palarae (tengah) membintangi filem seram terkenal Indonesia Pengabdi Setan 1 dan 2 yang mencatat kutipan pecah panggung. Foto Facebook Bront Palarae Official

“Perjalanan saya bekerja dengan produksi Indonesia juga sangat panjang. Ia ibarat proses campur suai dengan siapa saya bekerja di Indonesia. Saya harap filem tempatan kita akan turut dapat dikongsikan kepada penonton Indonesia,” tambahnya.

Beliau turut mengajak anak muda untuk mencari peluang lakonan di luar negara selepas melihat kepada beberapa pelakon Malaysia menunjukkan kejayaan seperti Tan Sri Michelle Yeoh yang berjaya menembusi senarai pencalonan anugerah berprestij dunia, Oscar.

“Pencalonan Michelle memberi inspirasi kepada kita khususnya anak muda untuk meneroka peluang di tempat lain. Michelle sudah menunjukkan laluan dan jalan itu dengan lebih jelas.

“Tapi sekiranya anda mahu bertahan di dalam industri tempatan dan memperjuangkannya, juga tidak mengapa. Henry Golding bermula di Malaysia walau belum tercalon Oscar,” katanya.

Menurut Bront, negara mempunyai bakat-bakat hebat dalam kalangan anak seni tempatan, namun tidak semua pandai menghargai dan memaksimumkan potensi bakat yang dimiliki.

“Apa yang jelas, kita tidak ketandusan bakat. Tapi kita ketandusan orang yang pandai menghargai bakat-bakat ini.

“Yang paling susah bukan mencari perbezaan antara kaca dan permata. Tapi mencari orang yang pandai menilai mana satu kaca dan permata. Kegagalan ini menjadi sesuatu yang menyedihkan untuk industri,” katanya.


Pengarang :