Ahli Dewan Negeri Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada golongan kurang berkemampuan ketika majlis berbuka puasa bersama AJK Surau Al-Faizun, Bukit Serdang, Seri Kembangan pada 29 Mac 2023. Foto Facebook Ean Yong Hian Wah
ADNSELANGOR

DUN Seri Kembangan peruntuk RM20,000 imarah program Ramadan

SHAH ALAM, 30 MAC : Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan memperuntuk RM20,000 bagi melaksanakan pelbagai program dan sumbangan sepanjang Ramadan.

Wakil rakyatnya Ean Yong Hian Wah berkata daripada jumlah itu hampir RM15,000 disumbangkan kepada lima surau dengan masing-masing menerima RM2,000 dan satu masjid (RM4,000).

“Sumbangan akan diserahkan secara berperingkat, semoga bantuan ini sedikit sebanyak meringankan beban pihak rumah ibadat ini untuk membuat aktiviti sepanjang Ramadan,” katanya ketika dihubungi.

Hian Wah berkata pihaknya turut menganjurkan majlis berbuka puasa bersama pimpinan masyarakat, edaran kurma di bazar Ramadan dan bantuan kepada fakir miskin dan warga emas.

Dalam perkembangan lain, Hian Wah turut mempelawa individu beragama Islam daripada keluarga berpendapatan rendah untuk memohon baucar Jom Shopping Perayaan Aidilfitri.

“Permohonan masih dibuka, orang ramai boleh hadir secara terus ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Seri Kembangan dengan membawa dokumen berkaitan. Kuota kita pada tahun ini adalah sebanyak 500 baucar,” katanya.

Pemohon perlu menyertakan salinan kad pengenalan dan slip gaji serta pasangan sementara ibu tunggal perlu membawa salinan sijil kematian atau perceraian.

Syarat permohonan ialah pengundi beragama Islam berpendapatan bawah RM3,000 serta tidak mendapat baucar Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

Sebelum ini Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kadar baucar Jom Shopping Perayaan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 setiap keluarga.

Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri menganggarkan 82,400 penerima bagi program ini yang akan diperuntukkan sebanyak RM16.8 juta.


Pengarang :