Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Azhan Md Amir menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran Saleha Sulaiman di Jalan SS 15a/15, Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 26 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

ADN Seri Setia salur bantuan kewangan untuk empat keluarga mangsa kebakaran

Oleh AZIAN AZIZ

PETALING JAYA, 27 MEI: Empat keluarga mangsa kebakaran di Jalan SS5A/15, Kelana Jaya di sini akan menerima bantuan kewangan, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia.

Halimey Abu Bakar berkata pihaknya akan menghantar laporan kerugian dan kerosakan akibat kejadian itu kepada Pejabat Daerah dan Tanah untuk mendapatkan kelulusan.

ADN Seri Setia Halimey Abu Bakar. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Saya ingin nyatakan bantuan itu mungkin lebih RM1,000, saya akan tengok semula dan jumlahnya akan dimaklumkan kepada mangsa,” katanya.

Beliau ditemui selepas penyerahan sumbangan wang tunai RM6,000 iaitu masing-masing RM3,000 daripada Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) serta barangan makanan kering semalam.

MBI diwakili Ketua Tanggungjawab Sosialnya Ahmad Azri Zainal Nor sementara Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir mewakili MBPJ.

Menurut Halimey pihaknya turut memberikan bantuan awal ketika kejadian pada 19 Mei lalu.

“Saya pergi ke lokasi kebakaran selepas mendapat maklumat untuk memberikan bantuan awal.

“Saya juga minta penghulu serta pejabat daerah untuk datang dan siasat. Selain itu Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Lembaga Zakat Selangor juga turut hadir hari itu,” katanya.

Keadaan rumah mangsa kebakaran di Jalan SS 15a/15, Kelana Jaya, Petaling Jaya dalam kejadian pada 19 Mei 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Dalam masa sama Halimey berkata pihaknya turut menawarkan tempat tinggal sementara di dewan orang ramai MBPJ yang terletak berhampiran.

“Namun mangsa memilih untuk tinggal di rumah anak serta saudara mara,” katanya.

Kebakaran pada jam 2.30 petang itu mengakibatkan dua kediaman mengalami kerosakan teruk dan dua lagi terbakar 30 peratus.


Pengarang :