PBTSELANGOR

MPKL anjur acara menarik sempena kemerdekaan, tawar hadiah hampir RM10,000

SHAH ALAM, 17 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menganjurkan pelbagai acara menarik sempena bulan kebangsaan dengan menawarkan hadiah keseluruhan hampir RM10,000.

MPKL memaklumkan antara acara tersebut adalah pertandingan fotografi kemerdekaan bermula 1 Ogos hingga 5 September, mencari perkataan (21 hingga 23 Ogos), deklamasi sajak (6 September) dan sketsa kenegaraan (13 September).

Peserta pertandingan fotografi kemerdekaan hanya perlu menangkap gambar Jalur Gemilang yang berkibar atau dipasang di mana-mana premis sekitar Kuala Langat mengikut kreativiti masing-masing.

“Kemudian mereka perlu memuat naik di Facebook dan tag ‘Majlis Perbandaran Kuala Langat’ dengan tanda pagar #KitaSelangor #Tekadperpaduan #Penuhiharapan #MPKL #SinggahKualaLangat #SmartMampan,” kata MPKL menerusi Facebook.

Tempat pertama pertandingan fotografi membawa pulang wang tunai RM400 diikuti tempat kedua (RM350), tempat ketiga (RM300) dan saguhati bagi lima peserta RM100 setiap seorang.

Bagi pertandingan cari perkataan pula terbuka kepada peserta berusia 18 tahun ke atas dan tawaran hadiah RM50 setiap seorang, terhad kepada lima pemenang.

Sementara bagi deklamasi sajak dan sketsa kenegaraan, ia terbuka kepada kategori sekolah rendah dan menengah bertemakan Malaysia Madani:Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan.

Kedua-dua pertandingan itu diadakan di Kompleks Sukan MPKL dengan masing-masing menawarkan hadiah keseluruhan sehingga RM7,300 bagi kedua-dua kategori.

Untuk maklumat lanjut boleh imbas kod QR di poster tertera atau hubungi Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat MPKL menerusi talian 012-300 4891.


Pengarang :