Penduduk Taman Seri Perepat, Kapar membeli barangan keperluan dapur pada Jualan Ehsan Rahmah di pekarangan Surau Dinussa’dah Taman Seri Perepat pada 17 Ogos 2023. Foto AFENDI MOHAMED/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Barang berkualiti, harga murah dorong pengunjung berbelanja di jualan PKPS

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

KLANG, 17 OGOS: Seorang suri rumah sanggup memandu lebih jauh semata-mata untuk mendapatkan barangan di Jualan Ehsan Rahmah (JER) selepas berlaku kenaikan harga di kedai runcit di sekitar kediamannya.

Khairumahwati Hazam, 50, berkata perbezaan harga yang ketara selain kualiti barangan yang ditawar lebih baik mendorong beliau memilih untuk berbelanja di jualan murah itu.

Khairumahwati Hazam

“Pagi tadi saya ke kedai di pekan Meru, saya lihat ayam yang dijual pada harga RM13 seekor sudah habis, dan yang tinggal cuma ayam yang dijual mengikut berat.

“Kebetulan saya dapat maklumat ada jualan di sini, jadi tanpa berlengah saya terus ke sini walaupun terpaksa memandu lebih kurang 20 minit kerana kualiti barang yang baik dan harga jauh lebih murah,” katanya pada JER di Taman Seri Perepat di sini hari ini.

Turut menyatakan pengalaman sama, pesara sektor awam, Karim Sudin, 63, yang mengharapkan JER dapat diteruskan Kerajaan Negeri sebagai usaha membantu rakyat yang lebih memerlukan.

Karim Sudin

“Untuk kali ini, saya dapat jimat lebih RM30 dan bagi saya ia satu jumlah yang banyak dan sangat membantu lebih-lebih lagi untuk golongan yang berpendapatan rendah.

“Paling penting, barang-barang yang dijual juga kualitinya sangat baik dan saya harap, usaha ini diteruskan sepanjang masa dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar ini,” katanya.

Seorang lagi suri rumah, Saadiah Bahari, 54, turut perasaan teruja berkongsi pengalaman pertama menjejakkan kaki ke program jualan murah itu.

Saadiah Bahari

“Alhamdulillah, bila datang dan lihat sendiri jualan ini memang saya rasa berbaloi kerana harga barang asas sangat murah kalau nak dibandingkan dengan harga di kedai.

“Hari ini saya belanja RM80, dapat beli tiga pek beras, dua papan telur dan dua ekor ayam dan beras. Kalau diluar memang tidak dapatlah harga seperti ini,” katanya.

JER menawarkan ayam RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), minyak masak lima kilogram (RM25) dan beras lima kilogram (RM10).

Program tersebut yang sebelum ini dikenali sebagai Jelajah Ehsan Rakyat dilanjut hingga Disember, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.


Pengarang :