Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berucap pada majlis perasmian Kecerdasan Buatan (AI) Untuk Rakyat di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 16 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Malaysia sasar kelompok teratas hab inovasi, syarikat pemula menjelang 2030

SERDANG, 16 JAN: Kerajaan akan memperkenal aspirasi KL20 untuk menjadikan negara dalam kelompok 20 teratas dunia sebagai hab inovasi dan syarikat pemula menjelang 2030.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata inisiatif yang bakal dilancar pada Mac hadapan itu bakal menetapkan semula kedudukan Malaysia sebagai medan ujian dan pintu gerbang Asean serta seluruh dunia.

“Ia suatu cita-cita yang amat tinggi tetapi bukan mustahil untuk dicapai. Hala tuju KL20 adalah titik tolak yang terbaik ke arah matlamat tersebut.

”Dokumen KL20 yang akan dilancarkan bakal menggariskan reformasi inisiatif tersasar untuk membangunkan ekosistem inovasi dan syarikat pemula yang teguh dan mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran portal kecerdasan buatan (AI) Untuk Rakyat di Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini, hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Rafizi menambah, antara inisiatif KL20 adalah pembangunan Tetingkap Tunggal Syarikat Pemula atau Startup Single Window, membabitkan peruntukan RM 28 juta seperti yang diumum dalam Belanjawan 2024.

Jelasnya, tetingkap berkenaan akan mengumpulkan syarikat pemula, pelabur dan syarikat modal teroka serta agensi kerajaan dalam satu platform perkongsian maklumat bagi mengupayakan keputusan berasaskan data.

“Selain itu, dan yang paling penting, adalah ketersediaan bakat tempatan untuk memacu pertumbuhan teknologi AI negara. Usaha giat dijalankan untuk meningkatkan kemahiran digital masyarakat.

“Kita juga akan mengenal pasti cabaran dan peluang dalam landskap bakat digital dan menyelaras usaha menambah baik kurikulum pendidikan sekolah. Ini semua boleh dilaksana menerusi AI Untuk Rakyat,” katanya.


Pengarang :