BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Dari selerak pelepah tamar, kalam Allah dihimpun, diseragam

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.” – ayat 9 surah al-Hijr.

Mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW diturunkan beransur-ansur selama 23 tahun. Ia menjadi petunjuk buat manusia sebagai hamba Allah di bumi. Namun semua firman-Nya diturunkan pada zaman itu, tidak terus dibukukan seperti hari ini.

Pengumpulan ayat-ayat al-Quran berlangsung dalam tiga fasa iaitu semasa zaman baginda hidup dan ketika pemerintahan khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman bin Affan.

Ayat al-Quran dikumpul melalui dua peringkat ketika penurunan wahyu masih berlangsung pada zaman Rasulullah SAW. Ia berlaku melalui hafalan sahabat dan arahan baginda agar wahyu ditulis untuk mengelak hilang daripada ingatan.

Zaman Rasulullah SAW

Penulis buku Ulum al-Quran Asmawi Ehsan menyimpulkan sewaktu turun wahyu, sahabat membaca dan menghafalnya seperti yang diajar Rasulullah SAW. Kemudian mereka menulis ayat itu pada batu, pelepah tamar, kulit binatang atau kepingan kain.

Baginda juga melarang penulis wahyu menulis selain daripada al-Quran kerana dibimbangi berlaku pencampuran antara ayat al-Quran dan bukan wahyu.

Sahabat yang menulis wahyu ialah Abu Bakar, Umar al-Khattab, Uthman, Ali bin Abu Talib, Zaid bin Thabit, Ubai bin Ka’ab, Muaz bin Jabal, Muawiyah bin Abu Sufyan, Khalid al-Walid dan Thabit bin Qais.

Ulama tafsir Syria, Dr Wahbah Al-Zuhaili menulis dalam kitabnya al-Tafsir al-Munir, tiada khilaf dalam kalangan ulama bahawa baginda sendiri memberi pengarahan dan petunjuk langsung kepada penulis wahyu untuk menyusun ayat dan surah mengikut tertib, yang mana perlu didahulukan dan diakhirkan.

Selepas kewafatan baginda, dua cara pengumpulan al-Quran masih kekal. Ditakdirkan berlaku peperangan di Yamamah, pada 11 Hijrah ketika Abu Bakar sebagai khalifah.

Zaman Abu Bakar

Ramai tentera Islam yang menghafal al-Quran syahid memerangi golongan murtad dalam pertempuran tersebut. Menurut Wahbah, 70 penghafaz al-Quran meninggal dunia.

Bimbang al-Quran terhapus akibat kematian ramai penghafaz, Umar beberapa kali mengesyorkan kepada Abu Bakar supaya mengumpulkan ayat-ayat al-Quran.

Abu Bakar pada mulanya enggan atas alasan tiada bukti kukuh Rasulullah SAW pernah mewasiatkan demikian sepanjang hayat baginda. Dialog antara dua sahabat itu ada direkodkan dalam Sahih Al-Bukhari, dalam Kitab Fada’il al-Quran

“Akhirnya Khalifah Abu Bakar as-Siddiq bersetuju dengan cadangan tersebut dan mengarahkan Zaid menyalin al-Quran yang telah ditulis dan dihafaz pada zaman Rasulullah SAW dengan dibantu oleh beberapa orang sahabat yang lain.

“Melalui usaha tersebut maka terkumpullah al-Quran yang pertama dalam bentuk lembaran suhuf,” buku Panduan Rasm Uthmani, terbitan urus setia Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran KDN, dipetik.

Pada fasa ini, Zaid berjaya memikul tugasan yang diamanahkan. Beliau tidak bergantung semata-mata kepada ayat yang ditulis di pelepah tamar, batu, dan tulang belulang, bahkan beliau menyemak hafalan daripada sahabat.

Justeru pengumpulan al-Quran pada zaman Abu Bakar ditulis dan dikumpul dalam lembaran-lembaran suhuf tetapi bukan dalam satu mushaf.

Zaman Uthman

Fasa seterusnya beralih kepada zaman Khalifah Uthman pada 23 Hijrah, apabila dakwah Islam berkembang luas hingga ke wilayah lain antaranya Armenia, Azerbaijan dan Khurasan.

Pada 25 Hijrah, berlaku perbalahan dalam kalangan umat Islam berhubung perbezaan ragam bacaan dan riwayat pembacaan al-Quran yang dipelajari daripada sahabat. Mereka saling bertelagah menyatakan bacaan mereka lebih baik berbanding yang lain.

Aduan mengenainya disampaikan Huzaifah bin al-Yaman kepada Uthman sebelum beliau membentuk jawatankuasa. Diketuai Zaid dan beberapa anggota, kumpulan itu menyelaras dan menyeragamkan al-Quran kepada satu mushaf, yang diterima pakai semua umat Islam.

Justeru jawatankuasa berkenaan menulis semula daripada lembaran-lembaran al-Quran disimpan Hafsah. Beliau mewarisinya selepas kematian ayahnya Umar dan Abu Bakar.

“Ketika ahli-ahli jawatankuasa ini menjalankan tugas, Uthman memberi nasihat dan meletakkan panduan bahawa asas rujukan di dalam penulisan al-Quran ini hendaklah berdasarkan pada al-Qurra’.

“Jika terdapat perbezaan pada baca mereka, maka hendaklah ditulis mengikut bahasa orang Quraisy kerana al-Quran itu diturunkan menurut bahasa Quraisy,” tulis urusetia buku Panduan Rasm Uthmani pada muka surat 18.

Sementara itu, lembaran-lembaran ditulis sebelum itu dikumpul dan dibakar. Enam naskhah salinan disusun oleh jawatankuasa itu. Khalifah Uthman menyimpan satu mashaf yang dikenali ‘Mashaf al-Imam’. Lima lagi dikirim ke Makkah, Syam, Basrah, Kufah dan Madinah bersama-sama seorang qari untuk mengajar penduduk wilayah berkenaan.


Pengarang :