11 kenderaan rosak selepas dirempuh bas dipercayai mengalami masalah brek di persimpangan lampu isyarat Jalan Tan Swee Hoe, Jalan Kluang, Batu Pahat pada 18 April 2024. Foto Facebook Balai Bomba dan Penyelamat Batu Pahat
AGENDAJENAYAH

11 kenderaan rosak dirempuh bas alami masalah brek

BATU PAHAT, 18 APRIL: Sebanyak 11 kenderaan membabitkan dua lori dan sembilan kereta rosak selepas dirempuh bas sebuah kolej swasta di persimpangan lampu isyarat Jalan Tan Swee Hoe, Jalan Kluang di sini pagi ini.

Kejadian 10.20 pagi itu dipercayai berpunca daripada bas yang mengalami masalah brek sebelum merempuh kenderaan yang menunggu lampu isyarat.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata pihaknya menerima laporan mengenai kemalangan itu pada 10.30 pagi.

Beliau berkata, kemalangan membabitkan 12 kenderaan iaitu bas, dua lori dan sembilan kereta.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku disebabkan sebuah bas dari arah bandar Batu Pahat menghala ke Jalan Kluang, hilang kawalan dipercayai kegagalan brek.

“Bas itu melanggar 11 kenderaan lain yang berhenti di persimpangan lampu isyarat, namun kemalangan itu hanya membabitkan kerosakan semua kenderaan dan kecederaan ringan.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya,” katanya lapor Berita Harian.


Pengarang :