Orang ramai membeli barangan keperluan asas ketika program Jualan Termurah Madani dan Karnival Kesihatan di Pusat Khidmat Masyarakat Tanjung Karang, Kuala Selangor pada 25 Februari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jualan Rumpun Selangor tawar barangan asas murah, mudahkan rakyat beli keperluan

KAJANG, 25 APRIL: Jualan murah barangan asas diadakan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Dusun Tua sempena jelajah Rumpun Selangor (RS) Hulu Langat.

EXCO perpaduan berkata program Jualan Rumpun Selangor kendalian Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah) itu berlangsung hari ini dan esok bermula 10 pagi hingga 12 tengah hari.

“Sempena siri kali ini, kita adakan program seperti Jualan Ehsan Rakyat bagi memudahkan penduduk mendapat keperluan dengan harga lebih murah dari pasaran.

“Selepas Hulu Langat, jualan ini akan diteruskan di tujuh lagi sesi jelajah RS dan bakal dikendalikan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.

“Ini antara pembaharuan dan tambah baik dalam program ini,” kata Datuk Rizam Ismail.

Pada program berkenaan ayam standard dijual RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek), telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM13).

Gagasan Rumpun Selangor diperkenal bagi memperkukuh semangat perpaduan nasional dan sistem masyarakat di negeri ini.

Pelaksanaannya meliputi enam agenda utama iaitu karnival dan eksplorasi, dasar, lagu perpaduan serta penstrukturan dan pemerkasaan institusi kepimpinan kampung.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan Selangor 2024 memperuntukan RM4.5 juta bagi menjayakan program berkenaan di sembilan daerah.


Pengarang :