Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim (tengah) menyampaikan barangan keperluan asas kepada bekas wartawan penyiaran program hiburan popular Nas Ahmad (dua kiri) yang menderita penyakit jantung di Pangsapuri Latan Biru, Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 17 April 2024. Foto X Izuan Kasim
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wakil rakyat ziarah bekas wartawan ‘terjah’ derita sakit jantung

SHAH ALAM, 18 APRIL: Penderitaan dialami bekas wartawan penyiaran program hiburan popular, Nas Ahmad akibat sakit jantung mendapat perhatian Ahli Dewan Negeri Kota Damansara.

Muhammad Izuan Ahmad Kasim menghulur bantuan barangan asas kepada pemilik nama lengkap Md Nasir Ahmad, 62, di kediamannya dekat Pangsapuri Latan Biru, Seksyen 8, Kota Damansara semalam bagi meringankan bebannya.

“Tengah hari semalam saya bersama Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkunjung untuk melawat abang Nas Ahmad.

“Niat asal kami untuk melawat sebelum Aidilfitri tapi ada aral mendatang, jadi kami melawat abang Nas semalam,” tulisnya di laman X hari ini.

Ahli Dewan Negeri Kota Damansara Muhammad Izuan Ahmad Kasim (tengah) menziarahi bekas wartawan penyiaran program hiburan popular Nas Ahmad (kiri) yang menderita penyakit jantung di Pangsapuri Latan Biru, Seksyen 8, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 17 April 2024. Foto X Izuan Kasim

Izuan memaklumkan bekas hos program hiburan popular, Melodi itu terpaksa hidup secara sederhana susulan penyakit dihidapinya, yang difahamkan sejak 2022.

“Namun kini, abang Nas bagai ayam diasak malam. Sejak menghidap penyakit jantung, abang Nas kini hidup secara sederhana.

“Mujur ada pihak Perkeso dan LZS. Pelbagai bantuan dalam bentuk nasihat, kewangan dan insentif diberikan kepada beliau,” katanya.

Berita mengenai kesihatan Nas mula diperkatakan selepas pengacara popular, Ahmad Fedtri Yahya membuat perkongsian dalam laman sosial pada Januari tahun lalu.

 


Pengarang :