BERITA UTAMASELANGOR

Penduduk terima bekalan air malam ini

OLEH NORHAYATI UMOR dan IZRIN MOHAMAD SAID

KLANG, 7 MEI: Penduduk yang terputus bekalan air sejak Ahad lalu, dijangka akan mula menerima bekalan malam ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal itu kerana ketiga-tiga paip utama yang pecah ekoran pergerakan tanah pembinaan lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping siap dibaiki.

“Bekalan air mula disambungkan pada 6 petang ini dan akan terus diagihkan ke kolam tadahan berhampiran dalam tempoh satu hingga dua jam.

“Kita jangkakan dalam tempoh 24 jam semua penduduk akan menerima bekalan air dan dijangkakan penduduk sekitar Telok Gong akan paling lambat menerima bekalan,” katanya pada sidang media, di lokasi kejadian, berhampiran Lebuhraya Grand Sepadu.

Amirudin berkata, kerja pembaikan hampir siap malam semalam namun, berlaku pergerakan tanah yang menyebabkan kerja tertangguh sekali gus memerlukan masa tambahan untuk disiapkan.

“Pagi ada mesyuarat bersama pihak berkenaan dan pihak WCE bersetuju untuk membuka dinding penahan serta mengeluarkan tanah supaya kawasan yang terkesan tidak lagi mengalami bebanan berlebihan,” katanya.

Pada masa sama, Amirudin mahu Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia melihat kembali kualiti kerja WCE.

“Keutamaan kami adalah memastikan pengguna tidak terjejas dan mendapat bekalan air.

“Buat masa ini, kerja-kerja pembinaan WCE di lokasi terbabit dihentikan bagi mengurangkan tekanan dan dijangkakan kerja pengalihan bebanan ini siap dalam masa empat hari,” katanya.

Sebelum ini, Air Selangor mengaktifkan pelan tindakan kecemasan kod kuning Sabtu lalu apabila mendapati tiga paip utama bersaiz 1400mm, 900mm dan 600mm.

Kerajaan Negeri turut memohon maaf kepada 175,000 pemegang akaun yang terjejas di 65 kawasan khususnya sekitar Klang akibat insiden itu dan berjanji akan menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

 


Pengarang :