KILAUAN EMAS… Atlet Olahraga Negara Muhammad Haiqal Hanafi menunjukan Pingat Emas yang dimenanginya pada acara 100 meter Lelaki akhir Sukan Sea Filipina 2019 di Stadium Athletics pada 8 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Malaysia berjaya kekalkan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara di Sukan SEA Filipina

MANILA, 9 DIS: Kejayaan pelari pecut kebangsaan, Muhammad Haiqal Hanafi mepertahankan emas negara dalam acara 100 meter lelaki berjaya mengubat prestasi hambar kontinjen Malaysia pada hari kelapan Sukan SEA ke-30 di Filipina, semalam.

Pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail itu yang dipanggil pada saat-saat akhir ke Sukan SEA, mempamerkan larian cemerlang untuk menyambar pingat emas dengan catatan 10.35 saat, sekali gus mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara yang dimenangi Khairul Hafiz Jantan pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Kontinjen Malaysia semalam sekadar menambah empat pingat emas, masing-masing menerusi Lee Hup Wei dalam acara lompat tinggi lelaki, Mohammad Rifdean Masdor (Muay Thai 45 kg lelaki), P. Madhuri (karate-kumite wanita 55kg), Grace Wong dalam acara papan selaju ‘downhill’ wanita, dan Muhammad Haiqal.

Kontinjen Malaysia turut menambah 12 perak dan 10 gangsa semalam, namun kekal berada di tangga keenam menerusi kutipan 41 emas, 42 perak dan 62 gangsa dan ia dijangka sukar untuk mencapai sasaran 70 emas dengan berbaki dua hari pertandingan sebelum tirai Sukan SEA 2019 melabuhkan tirainya pada 11 Disember ini.

Tuan rumah, Filipina sah dinobatkan juara keseluruhan buat kali kedua selepas edisi 2005 dengan kutipan 112 emas, 86 perak dan 87 gangsa, disusuli Indonesia (65-62-79), manakala Vietnam kekal di tangga ketiga keseluruhan dengan pungutan 65 emas, 59 perak dan 78 gangsa.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari kesembilan, hari ini dalam beberapa acara, antaranya renang, memanah, olahraga dan polo campuran.

-BERNAMA


Pengarang :