Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada penerima ketika Program Selangor Prihatin Asatizah di Jabatan Agama Islam Selangor, Shah Alam pada 15 Jun 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

PKP penuh: Tenaga pengajar agama lega dapat bantuan makanan

SHAH ALAM, 15 JUN: Tenaga pengajar agama negeri ini menarik nafas lega dan bersyukur menerima makanan asas sumbangan Kerajaan Selangor.

Pemegang tauliah al-Quran berkata bantuan tersebut mampu menjimatkan perbelanjaan dapur kerana berdepan masalah kewangan sejak perkhidmatan dihenti sementara susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya.

Dalilah Ahmad. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Pendapatan saya terjejas hampir 90 peratus sepanjang Covid-19 kerana tidak dapat keluar mengajar al-Quran seperti biasa. Ketika ini saya hanya bergantung kepada bayaran individu yang minta diajar secara dalam talian.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kerana menyediakan bantuan dinanti selama ini,” kata Dalilah Ahmad kepada SelangorKini.

Beliau antara 280 asatizah berdaftar di bawah Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Petaling yang menerima manfaat berkenaan hari ini.

Abdullah Abdul Shukor. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Sementara itu, guru tahfiz Abdullah Abdul Shukor berkata perkara terbabit mencerminkan keprihatinan Kerajaan Selangor terhadap semua tanpa mengira status kependudukan individu.

“Sebagai salah seorang perantau yang mencari rezeki di negeri ini amat menghargai bantuan diberi. Mereka (Kerajaan Negeri) sedar dalam tempoh pandemik, ramai individu hilang pekerjaan ditambah pula dengan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya.


Pengarang :