Pelajar tajaan Yayasan Selangor yang menyertai program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Amusement Day anjuran Universiti Selangor (Unisel). Foto Facebook Unisel
AGENSISELANGOR

135 pelajar Yayasan Selangor sertai program sains, teknologi anjuran Unisel

SHAH ALAM, 5 JULAI : Seramai 135 pelajar tingkatan tiga dan lima tajaan Yayasan Selangor menyertai program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Amusement Day anjuran Universiti Selangor (Unisel).

Unisel menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan program itu diadakan selama tiga hari mulai 1 Julai di Kampus Bestari Jaya bertujuan menarik minat pelajar terhadap bidang pendidikan STEM.

“Pelbagai aktiviti menarik membabitkan kurikulum dan kokurikulum diadakan sepanjang program berlangsung sebagai persediaan buat pelajar sebelum melangkah ke alam universiti.

“Malah, Unisel amat mendukung STEM bagi memastikan pelajar sentiasa kreatif dan terus berinovasi dalam era teknologi masa kini,” katanya.

Terdapat enam modul STEM di bawah modul Jabatan Kejuruteraan dan modul Jabatan Sains dan Bioteknologi yang diterapkan kepada para pelajar iaitu Terokai Dunia Elektrik..Let’s Go!, Structure and Civil Work Measurement – Where to Build?, Paper Plane – Mechanical Concept, Piramid Sierpinski, Drone at Home dan Microbes Art.

Majlis penutupan program STEM Amusement Day yang berlangsung kelmarin itu disempurnakan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Sains Hayat Prof Madya Dr Dzulkarnain Ahmad. Turut hadir Pengurus Kanan Pendidikan Yayasan Selangor Zahura Zakry.


Pengarang :