AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Ella meriahkan Jelajah Selangor Penyayang di Klang hujung minggu ini

SHAH ALAM, 20 OKT: Ratu rock Ella akan membuat penampilan istimewa sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Klang pada Sabtu dan Ahad ini.

Artis popular tersebut akan mengadakan persembahan bagi menghiburkan orang ramai dalam program Kerajaan Negeri berlangsung di Stadium Sultan Suleiman, Klang.

Ia adalah sebahagian daripada acara dalam jelajah bantuan rakyat bertemakan Membina Keluarga Penyayang selain saringan percuma, jualan barangan asas murah dan pameran.

Turut diadakan cabutan bertuah, pertandingan e-sukan, pakaian beragam keluarga, mewarna dan acara sukan rakyat seperti tarik tali, gusti lengan dan liga penalti.

Acara selama dua hari itu bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan akan diteruskan ke daerah lain setiap minggu sehingga awal November. Program itu turut meliputi serahan dana usahawan dan penyerahan Kunci Kedai Smart Selangor.

Sebelum ini, acara sama berlangsung di Taman Kosas Ampang Jaya, Dataran Pantai Morib Kuala Langat Stadium Utama Kuala Selangor, Dataran Boulevard Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Padang Awam Batu Caves, Gombak dan Stadium Sungai Besar, Sabak Bernam.

 


Pengarang :