Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis perasmian sistem smart box peluasan ke seluruh Pejabat Daerah dan Tanah Negeri Selangor di Pejabat Daerah dan Tanah Klang pada 28 Oktober 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB: Hubungan dengan Azmin profesional, jaga kerjasama Kerajaan Negeri dan persekutuan

SHAH ALAM, 28 OKT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan hubungannya dengan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersifat profesional antara pemimpin Kerajaan Negeri dan menteri kerajaan persekutuan.

Kedua-dua dilapor bakal bertembung di kerusi Gombak, Amirudin berkata kaitannya dengan menteri kanan perdagangan antarabangsa dan industri serta pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) itu atas urusan pentadbiran.

“Sebahagian urusan berhubung dengan dia (Azmin) tentang urusan pentadbiran sebab dia pengerusi MTNg. Kadang-kadang (cadang) buat mesyuarat tetapi masa tidak sesuai, jadi kita hubungi dalam bentuk WhatsApp, panggilan telefon bila perlu.

“Kita berurusan secara profesional tapi sebelum itu ada berbasa-basi. Yang penting kita nak dapatkan kerjasama dari pusat untuk memastikan pelaburan dan hasil negeri.

“Tetapi sebelum bercakap, kadang-kadang dia (Azmin) tanya bertanding mana? Saya cakap mungkin Gombak. Macam itu sahaja tetapi dia anggap serius sangat, tak apalah,” kata Amirudin ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Azmin, yang keluar Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hingga mengakibatkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang, mendakwa Amirudin ‘bakal disembelih’ di kerusi parlimen yang dimenanginya selama tiga penggal.

Ura-ura Amirudin bertanding di Gombak bertambah kuat apabila Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin membayangkan Dato’ Menteri Besar itu bertanding di kerusi berkenaan.

Spekulasi tersebut dijangka berakhir apabila KEADILAN membuat pengumuman calon pilihan raya umum ke-15 pada malam ini.


Pengarang :