EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Bursa Malaysia dibuka rendah berikutan penurunan dalam bursa serantau dan harga minyak lemah menjejaskan sentimen belian dalam pasaran tempatan.

Pada 9.10 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 15.06 mata kepada 1,695.65 daripada 1,710.71 semasa ditutup pada Isnin, selepas dibuka rendah 16.14 mata kepada 1,694.57 hari ini.

Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 388 berbanding 53, dengan 127 tidak berubah, 1,313 tidak diniagakan dan 31 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 185.0 juta unit bernilai RM110.41 juta.

Peniaga berkata FBM KLCI dibuka rendah disebabkan pergolakan dalam pasaran kewangan, yang menyaksikan ekuiti global mengalami jualan besar-besaran, dan harga minyak merosot.

“Penurunan dalam pasaran tempatan sejajar dengan bursa serantau. Indeks Straits Times Singapura susut 1.24 peratus kepada 3,026.99, Indeks Komposit Jakarta berkurangan 0.12 peratus kepada 6,005.3 dan Indeks Hang Seng Hong Kong turun 2.02 peratus kepada 25,840.34.

“Kejatuhan harga minyak turut menjejaskan sentimen belian dengan penanda aras antarabangsa merosot 6.4 peratus kepada US$62.53 setong dan niaga hadapan minyak mentah US West Texas Intermediate (WTI) susut 6.6 peratus kepada US$53.43 setong,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank merosot lapan sen kepada RM9.42, Public Bank berkurangan 14 sen kepada RM24.86, Tenaga susut 16 sen kepada RM14.70 dan Petronas Chemicals meningkat empat sen kepada RM9.34.

Daripada saham aktif, Sumatec tidak berubah pada 2.5 sen, Hibiscus Petroleum susut enam sen kepada RM1 dan Dagang Nexchange turun dua sen kepada 35 sen.

Sementara itu, harga saham Topvision Eye Specialist Bhd yang mula disenaraikan di Pasaran LEAP berada pada 23 sen, premium lima sen daripada harga terbitan 18 sen, dengan 130,000 saham diniagakan.

Indeks FBM Emas susut 117.01 mata kepada 11,781.95, Indeks FBMT 100 merosot 112.6 mata kepada 11,626.9, FBM 70 berkurangan 170.53 mata kepada 13,866.25 dan Indeks FBM Ace turun 83.31 mata kepada 4,891.77.

Indeks FBM Emas Shariah merosot 123.6 mata kepada 11,830.46.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan susut 115.77 mata kepada 17,335.57, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 0.75 mata kepada 173.26 dan Indeks Perladangan turun 36.62 mata kepada 7,214.65.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :