NASIONAL

Lima R&R PLUS bakal berwajah baru

OLEH AFIX REDZUAN

SETIA ALAM, 18 APRIL: Kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban arah selatan bakal dinaik taraf, pada penghujung tahun ini dengan konsep baharu yang menarik serta lebih mesra pelanggan, kata Datuk Azman Ismail.

Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) berkata, pemilihan itu dibuat sebagai projek perintis selain mendapatkan reaksi pelanggan sebelum ia dilaksanakan kepada empat R&R lain.

Katanya, ia bakal menerapkan nilai kontemporari, teknologi mesra alam dan reka bentuk moden untuk pelanggan.

“Kita juga mahu dapatkan kepastian supaya pengendali gerai yang berada di Seremban arah selatan boleh mendapat penambahan daripada segi hasil perniagaan dengan reka bentuk baharu.

“Kita mahu semua orang berasa puas hati dengan konsep ini,” katanya pada sidang media Persidangan Rakan Niaga PLUS 2019 dan pelancaran Program Insentif Rakan Niaga (BPIP) di Pusat Konvensyen Setia Alam, hari ini.

Azman berkata, kerja naik taraf itu bakal disusuli R&R Bukit Gantang arah utara, pada tahun hadapan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Komersil PLUS, Christine Liew berkata, terdapat banyak permintaan daripada jenama produk makanan terkenal yang berminat menjadi rakan niaga baharu selepas proses naik taraf dilakukan.

Namun, katanya, PLUS akan membuat penilaian daripada segi kapasiti dan prestasi pertumbuhan bagi membolehkan lebih ramai pengusaha memasarkan produk mereka kepada pengguna dengan konsep harmoni.


Pengarang :