PBTSELANGOR

Tampil di pentas RGG, Faizal ‘puas’ jumpa peminat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 14 APR: Pernah menjadi kegilaan ramai wanita sekitar 1985, kehadiran pelakon, Faizal Hussein di pentas Retromania Grand Gathering (RGG’19) seakan menyingkap kembali nostalgia filem Gila-Gila Remaja.

Memegang watak sebagai Azroy dalam nashkah arahan Hussein Abu Hassan itu, Faizal berkata, penampilannya di Dataran Pantai Morib bukan sahaja bagi menghargai sokongan peminat terhadap filem terbabit, sebaliknya memupuk minat golongan muda mengenali motosikal retro.

“Retro adalah motosikal lama yang kita gunakan dalam filem ini pada 1985 dan sememangnya peminat kami pada era itu sehingga sekarang masih tahu elemen penceritaan diketengahkan Gila-Gila Remaja.

“Dengan adanya himpunan motosikal dengan konsep ini, tiada apa yang saya dapat katakan melainkan begitu teruja kerana dapat berjumpa dengan hampir 30,000 peminat motosikal.

“Saya tahu peminat teruja bertemu kami semua, ada yang mahu dapatkan autograf pada baju-T dan ‘helmet’, tidak kurang juga mahu merakam foto kenangan sehingga tidak terlayan. Mereka yang tidak berkesempatan, kita jumpa di acara lain,” katanya.

Selain Faizal, antara barisan pelakon dalam filem terbabit yang turut menyerikan pentas RGG’19 anjuran Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) adalah Kamarool Yusof, Kuzi dan Ravi.

Kesemua mereka tampil di perkarangan pentas RGG’19 dengan gimik menunggang motosikal ‘scrambler’ sehingga menggamit perhatian hampir 30,000 pengunjung.

Mengakui aktiviti permotoran memberi satu nikmat dan kepuasan, Pengarah serta Penulis Skrip Malaysia itu berkata, beliau sendiri boleh membayangkan kegigihan ‘mat moto’ dalam mencari alat ganti untuk melengkapkan sebuah motosikal berkonsepkan retro.

Faizal yang muncul pelakon lelaki terbaik Festival Filem Malaysia 2012 menerusi filem Bunohan berkata, pembabitan anak muda terhadap penganjuran RGG dapat mengelakkan golongan berkenaan terjebak dalam gejala tidak sihat.

“Saya memang terperanjat melihat penyertaan acara ini memandangkan kebanyakan pengumpul motosikal retro adalah dalam kalangan anak muda.

“Kita juga boleh tengok hari ini banyak motosikal yang dipamerkan kesemuanya mengimbas kenangan filem ini. Jadi, sokongan ini yang kita mahukan,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

 


Pengarang :