Peserta `bikers’ tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Kota Raja menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2019 dengan menjelajah tiga DUN iaitu Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Sentosa sebelum berakhir di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 1 September 2019.
ADNSELANGOR

65 `bikers’ Parlimen Kota Raja semarak Hari Kebangsaan 2019

SHAH ALAM, 1 SEPT: Seramai 65 ‘bikers’ daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Parlimen Kota Raja menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan 2019, semalam.

Penunggang motorsikal berkuasa tinggi melibatkan pelbagai kaum itu berkonvoi menjelajah tiga DUN membabitkan Sungai Kandis, Kota Kemuning dan Sentosa sebelum berakhir di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Jelajah konvoi itu dirasmikan di padang Taman Klang Jaya oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr G Gunaraj dan ADN Kota Kemuning, V Ganabatirau pada jam 7 pagi.

Konvoi itu ditamatkan oleh ADN Sungai Kandis, Mohd Zawawi Mughni pada pukul 2 petang.

Mohd Zawawi berkata, program dianjurkan itu bertujuan menerapkan nilai-nilai kemerdekaan dan rasa cinta terhadap negara oleh masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, program itu juga dianjurkan untuk memperingati hari kemerdekaan ke-62 tahun dan melahirkan semangat patriotik serta cintakan negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Konvoi mengelilingi beberapa lokasi di daerah ini secara tidak langsung menyemarakkan rasa keterujaan kita sebagai rakyat Malaysia yang sedang meraikan bulan kemerdekaan.

“Inilah yang kita ingin tunjukkan kepada rakyat supaya mereka juga turut sama menyertainya dengan mengibarkan Jalur Gemilang sama ada dilekatkan di kenderaan, rumah, premis dan sebagainya,” katanya.


Pengarang :