Selangorkini
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Skim Smart Sewa bantu golongan B40

KUALA SELANGOR, 14 SEPT: Kerajaan Negeri berusaha memastikan tiada kelompok dalam kalangan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) ketinggalan memiliki kediaman sendiri dengan menyediakan Skim Smart Sewa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah ini diambil berikutan 35 peratus daripada 50,000 tawaran Rumah Selangorku yang diluluskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor berdepan masalah pembiayaan pinjaman institusi kewangan disebabkan pelbagai isu seperti tunggakan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan kad kredit.

“Melalui skim yang disebutkan tadi, sehingga kini sebanyak 341 unit rumah telah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450 sebulan sehingga RM700 sebulan.

“Sebanyak 101 unit telah disiapkan pada awal tahun ini dan bakal disewakan dalam masa terdekat, manakala sebanyak 541 unit dijangka dapat disiapkan pada pertengahan tahun ini hingga awal tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah SelangorKu Hibiscus 3 di Bandar Seri Coalfields di sini, hari ini.

Amirudin berkata, selain skim Smart Sewa, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) merangka rancangan pembangunan menyeluruh untuk membina rumah mampu milik di seluruh kawasan RAC di Selangor.

Katanya, MBI Selangor dan RAC akan bekerjasama dalam membangunkan aset-aset ini dengan memberi tumpuan kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD) termasuk rumah mampu milik.

“Langkah ini bertujuan membina komuniti yang mampan, pembangunan tersebut akan menyediakan kawasan perumahan yang sesuai dan mampu dimiliki serta menyediakan jaringan hubungan yang baik di samping turut meningkatkan ekonomi di sekitar pusat TOD dan komuniti sekitar.

“Inisiatif bersama ini juga mencerminkan sokongan Kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan visi Selangor untuk menjadi Negeri Pintar menjelang 2025, yang menghubungkan kemudahan pengangkutan awam bersepadu bersama perumahan mampu milik,” katanya.


Pengarang :