AGENDAJENAYAH

Pegawai SPRM belum tahu keberadaan Najib pada 11 Januari 2010

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Seorang pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau belum dapat mengesahkan keberadaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 11 Jan 2010 sama ada di Riyadh, Arab Saudi atau Kuala Lumpur.

Penolong Pesuruhjaya SPRM, Mohd Nasharudin Amir, 48, yang sebelum ini merupakan pegawai penyiasat kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkata sehingga kini, beliau masih belum menerima sebarang input berkaitan maklumat yang diminta oleh pihak pendakwaan itu.

“Saya telah meminta bantuan pegawai yang sedang menyiasat kes 1MDB sekarang, tetapi pegawai itu masih belum memberi apa-apa maklumat,” katanya ketika disoal balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V. Sithambaram pada perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang memasuki hari ke-85 hari ini.

Minggu lalu, Sithambaram meminta saksi pembelaan kesembilan itu memeriksa keberadaan Najib pada tarikh tersebut kerana terdapat pertikaian sama ada Ahli Parlimen Pekan berkenaan berada di Riyadh, Arab Saudi atau di Kuala Lumpur bagi perasmian ibu pejabat 1MDB di Menara IMC, Jalan Sultan Ismail di sini.

“Mengikut keterangan di mahkamah, beberapa saksi pembelaan sebelum ini memberitahu Najib berada di Arab Saudi untuk satu sesi lawatan pada 11 Januari hingga 16 Januari 2010,” kata peguam itu.

Pada prosiding sebelum ini, beberapa saksi pembelaan termasuk bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom mendakwa Najib telah memberitahu mereka bahawa pemerintah Arab Saudi ketika itu, Raja Abdullah, berjanji untuk memberi bantuan kewangan kepada Najib.

Menjawab soalan lanjut Sithambaram sama ada beliau berjaya mendapatkan maklumat mengenai keberadaan Jamil Khir pada tarikh sama, saksi itu berkata beliau mempunyai dua laporan berkala dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia yang diperoleh daripada pegawai penyiasat SPRM lain.

“Surat berita bertarikh Februari 2010 tersebut menyatakan dengan ringkas bahawa pada 11 Januari 2010, Datuk Seri Jamil Khir menghadiri dan berucap pada program Ucapan Amanat YB Menteri 2010 di Putrajaya,” katanya.

Sebelum prosiding hari ini berakhir, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah bahawa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dan bekas penasihat undang-undang MIC, Datuk Selva Mookiah akan memberi keterangan esok.

“Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali telah bersedia untuk memberi keterangan tetapi ibu beliau masih sakit dan pihak pembelaan tidak mahu memberikan tekanan kepadanya.

“Kami sudah menyerahkan sepina kepada Latheefa dan pihak pembelaan akan menemu bual Datuk Selva malam ini sebelum mereka dijangka memberi keterangan esok,” kata peguam itu.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyalahgunakan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berhubung dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :