B Sathianatahn. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Proses pemulihan pemain cedera diteruskan ketika PKP

SHAH ALAM, 21 APRIL: Proses pemulihan pemain Selangor yang cedera diteruskan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut modul yang telah ditetapkan, kata B Sathianathan.

Jurulatih Red Giants berkata pemain yang cedera berhubung terus dengan pakar fisioterapi pasukan dan membuat latihan bersesuaian dengan kecederaan masing-masing.

“Bagi pemain lain pula kita arahkan mereka mengikuti program yang diberi sebelum ini dengan mengisi buku log dan mengembalikan kepada pengurusan selain berhubung menerusi aplikasi Zoom,” katanya ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Antara pemain yang berdepan kecederaan panjang ialah Rufino Segovia, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Mohammad Nor Hakim Hassan.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam kenyataan pada 17 Mac lalu melarang semua pasukan mengadakan latihan, perlawanan persahabatan dan mengurangkan pergerakan sehingga PKP berakhir.

Red Giants mengumpul lima mata selepas empat perlawanan dan mereka tewas 2-0 kepada Kedah sebelum saingan liga dihentikan buat sementara waktu.


Pengarang :