Jururawat memakai sut perlindungan diri memeriksa pesakit Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur pada 21 April 2020. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

KKM kesan tiga kluster baharu di Pahang – Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 31 MEI: Kementerian Kesihatan mengesan tiga lagi kluster baharu melibatkan warga asing di tiga kawasan di Pahang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster berkenaan membabitkan 15 warga asing iaitu kluster Ladang Bera, di Bera (tujuh); kluster Kilang Papan di Maran (enam) dan kluster Syarikat Pembinaan (dua) juga di Maran.

“Kluster itu dikesan susulan tindakan pejabat kesihatan di situ yang melaksanakan pensampelan secara rawak dan didapati ada yang positif.

“Bila dikesan ada yang positif kami terus laksanakan pengesanan kes aktif, yang positif diasingkan dan yang negatif dikuarantin selama 14 hari,” katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Punca jangkitan bagi ketiga-tiga kluster baharu itu sedang disiasat, katanya.

Ditanya mengenai status terkini siasatan punca jangkitan wabak bagi tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan Sepang di Selangor serta di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Putrajaya, beliau berkata siasatan masih dijalankan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mendedahkan hasil dapatan permodelan dan data terkini KKM mendapati rakyat Malaysia patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) berbanding warga asing.

Justeru itu, katanya, KKM kini memfokuskan kepada kaedah untuk memastikan kepatuhan SOP turut diamalkan dalam kalangan bukan warganegara.

“Sekarang ni yang kami tengah fokus ialah kepatuhan dalam kalangan bukan warganegara, jadi ini fokus yang utama.

“Memasuki lapan hari sejak Aidilfitri kami lihat tiada peningkatan kes melibatkan warga tempatan, ini menunjukan kepatuhan rakyat tempatan pada SOP…jika berterusan (kes warga tempatan menurun) kami akan beri kelonggaran pada sektor melibatkan warga tempatan,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :