Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan pada 28 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Individu diawasi dari luar negara diwajib jalani kuarantin sendiri

SHAH ALAM, 9 JUN: Semua individu bawah pengawasan (PUS) sama ada warganegara atau bukan yang dibenarkan masuk ke Malaysia dan disahkan negatif Covid-19 akan menjalani tempoh kuarantin wajib dua minggu di kediaman masing-masing bermula esok.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata perkara itu diputuskan melalui mesyuarat khas menteri-menteri pada 6 Jun lalu.

“Sekiranya individu berkenaan memilih untuk dikuarantin di hotel, kos (kuarantin) akan ditanggung sepenuhnya oleh mereka,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata keputusan itu turut terpakai kepada PUS yang masih berada di stesen kuarantin sama ada di hotel atau Institut Latihan Awam (ILA) dan disahkan negatif seterusnya perlu menyambung baki tempoh kuarantin di rumah sendiri.

“Kesemua mereka dikehendaki memuat naik dan mendaftar MySejahtera serta wajib dikuarantin di alamat didaftarkan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti dinyatakan menerusi aplikasi tersebut,” katanya.


Pengarang :