AGENDAGLOBAL

Covid-19: Singapura catat 242 kes baharu, keseluruhan 54,797

SINGAPURA, 7 OGOS: Singapura mencatat 242 jangkitan baharu Covid-19 setakat tengah hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes di republik itu setakat ini ialah 54,797.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan di sini oleh Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), majoriti kes membabitkan pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja.

Berdasarkan siasatan setakat ini, kementerian itu berkata terdapat satu kes dalam komuniti yang membabitkan warganegara Singapura.

Selain itu, terdapat enam kes import yang telah diletakkan di bawah Notis Duduk Di Rumah sejurus ketibaan di Singapura.

Data penuh yang dikeluarkan pada lewat Khamis menyaksikan Singapura mengklasifikasikan sejumlah 733 yang dilaporkan sebagai kes import manakala 2,189 sebagai kes dalam komuniti dan 51,633 lagi kes membabitkan penghuni asrama.

Setakat tengah hari semalam, sejumlah 48,031 pesakit atau kira-kira 88 peratus telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan telah didiscaj dari hospital atau fasiliti rawatan komuniti di sini.

Sementara itu, terdapat sejumlah 112 kes disahkan yang masih dirawat di hospital.

Daripada jumlah ini, kebanyakannya adalah stabil atau semakin pulih dan tiada yang berada di unit rawatan rapi.

Selain itu, sejumlah 6,385 kes yang mempunyai gejala ringan atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif Covid-19, diasingkan dan dirawat di fasiliti komuniti.

Sehingga kini, sejumlah 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi susulan jangkitan Covid-19 di republik itu.

Tidak ada kluster baharu dikenal pasti semalam.

– BERNAMA


Pengarang :