BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Julang teras demokrasi

*Bahagian akhir ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari selaku pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN dalam program Jelajah Presiden KEADILAN ke Selangor pada 7 Ogos

Ketika wabak Covid-19, Kerajaan Selangor memperkenalkan SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) saat kerajaan persekutuan masih belum perkenalkan apa-apa kaedah mengesan jejak. Kita mewujudkan pasukan khas yang diketuai oleh Datuk Dr Dzulkefly Ahmad. Kita melaksanakan program rangsangan, bukan satu tapi tiga pakej.

Malahan kita adalah negeri yang paling gentlemen apabila kita membentangkan program rangsangan dalam sidang dewan, menjadikan satu-satunya negeri di Malaysia yang berani membentang pelan pemulihan kepada ahli-ahli dewan negeri untuk kita bincangkan. Kita faham dan yakin demokrasi ini salah satu akar dan asas yang harus kita pertahankan, yang harus kita julang, yang harus kita angkat sebagai contoh terbaik. Ini kerja kita.

Bukan terikut-ikut. Betullah memang pihak sebelah sana sekarang hendak angkat isu kaum ini sebagai isu teras. Yang kita layan buat apa? Yang kita terikut-ikut buat apa? Yang kita respond buat apa? Kerja kita, kena buktikan agenda reformasi, perjuangan yang telah dilandaskan – Deklarasi Permatang Pauh, demokrasi, hak asasi, perkara-perkara keprihatinan, kepedulian kepada rakyat. Ini asas perjuangan kita, yang harus kita tampilkan.

Adakah orang Melayu akan tolak kita? Tahun 1999, orang Melayu terima kita dengan majoriti yang besar. Tahun 2018, majoriti orang Melayu sokong bukan sebab satu dua pemimpin, bukan sebab satu dua tokoh, kerana kita tolak pencuri dan pencuri itu masih di sana dan kawan-kawan yang lompat itupun bersama-sama dengan pencuri.

Mereka sekarang curi kerajaan bersama-sama dengan pencuri duit rakyat. Jadi kerja kita sekarang, kena terangkan dasar kita, kena tunjukkan kejayaan kita. Kita kena tumpu kerja kita. Terang pada rakyat.

Tidak guna lagi kita menangis kerana di hadapan kita ada cabaran yang besar untuk mempertahankan Selangor pada pilihan raya ke-15. Kita bantu rakan-rakan kita di Sabah, bantu rakan-rakan di Sarawak dan Insya-Allah tuan-tuan dan puan-puan, ini adalah talian hayat mereka.

Politik lama, agenda sempit

Mereka ingin mempertahankan politik lama yang sebenarnya kolaborasi perikatan untuk melawan politik baharu, politik reform yang kita bawa, agenda reformasi yang kita hendak bawa. Yang hendak dibawa oleh mereka, apa?

Agenda perkauman yang sempit, agenda agama yang sempit dan akhirnya sekarang semua agenda itu seolah-olah terdiam. RUU355, presiden PAS pun “kita kena tengok perlembagaan semula”. Isu Adib sudah lupa, kalau tak dulu semua ini dianggap pembela pembunuh Adib.

Rakyat telah lihat dan ada peluang untuk melihat. Kita jangan lemah semangat, jangan hilang pertimbangan, jangan hilang kewarasan sebaliknya kita harus kumpulkan sekarang, semua kekuatan dan kemampuan kita bersama-sama.

Kita perbaiki kesilapan, lupakan perbedaan dan tujuan kita satu, menang di Putrajaya dan tidak lain tidak bukan, bukan hanya laungan reformasi yang kita laungkan dan melaksanakan agenda reformasi yang telah dibawa oleh Bapa Perjuangan Reformasi kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan mesej itu, saya tinggalkan cabaran ini untuk kita pikul bersama. Insya-Allah kita pertahan Selangor, kita kembali rampas Putrajaya dalam pilihan raya ke-15 nanti.


Pengarang :