Timbalan Menteri Belia Dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (dua, kiri) ketika Lawatan Pemantauan Pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Sukan di Kota Permai Golf and Country Club, Kota Kemuning, hari ini. Turut hadir Director of Club, Township and Property Management Kota Permai Golf and Country Club, Tan Meng Loon (kiri). Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

KBS puas hati tahap pematuhan SOP kemudahan sukan di Selangor

SHAH ALAM, 23 FEB: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berpuas hati dengan tahap pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ditunjukkan oleh pemain industri sukan dan rekreasi di Selangor.

Timbalan Menterinya Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata sekiranya industri sukan dan rekreasi terus memperlihatkan kepatuhan yang tinggi pihaknya percaya Majlis Keselamatan Negara akan memberikan lebih kelonggaran kepada industri berkenaan.

“Hari ini saya melakukan tinjauan di Padang Latihan Pasukan Selangor FC, pusat gimnasium dan Kelab Golf Kota Permai di Kota Kemuning, keseluruhannya saya berpuas hati dengan tahap pematuhan SOP di tempat-tempat ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan berkenaan di sini hari ini.

Mengenai permohonan persatuan sukan agar pemain dan pegawai terlibat dalam Liga Malaysia bermula 5 Mac depan dan atlet yang akan menyertai kejohanan sukan antarabangsa diberi suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama bermula Rabu ini, Wan Ahmad Fayhsal berkata pihaknya akan mempertimbangkan untuk berbincang dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengenai perkara itu.

“Pada masa ini, bagi atlet yang tidak menerima vaksin pada fasa pertama, pematuhan kepada SOP sudah mencukupi untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti Covid-19, bagaimanapun kita akan perjuangkan perkara ini mungkin untuk vaksin yang akan tiba pada fasa kedua kelak,” katanya.

– BERNAMA

 


Pengarang :