AGENDANASIONAL

Sisa buangan alatan petugas kesihatan naik lebih 100 peratus

SHAH ALAM, 5 JUN: Sisa buangan klinikal dijangka terus meningkat sehingga 173.25 tan metrik sebulan dalam tempoh 12 bulan akan datang jika pandemik Covid-19 berlanjutan.

Timbalan menteri alam sekitar dan air berkata pembuangan sisa berkaitan seperti bahan plastik pakai buang, sarung tangan getah dan gaun isolasi diguna petugas barisan hadapan di semua fasiliti kesihatan meningkat 111.94 peratus berbanding pada Disember 2019 sebelum pandemik.

“Ia boleh dianggap satu angka signifikan yang boleh mengancam kehijauan bumi dan menggugat kelestarian alam sekiranya tidak berjaya diuruskan dengan baik,” kata Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad seperti dilapor Berita Harian.

Katanya, perkara itu menjadi antara keutamaan berikutan sisa pembuangan terjadual memerlukan pengendalian serta pelupusan khas sistematik.

Ia seperti dinyatakan dalam Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan tatacara operasi piawai (SOP) oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Ahmad Masrizal berkata ketika ini sisa klinikal pakaian perlindungan diri (PPE) diperoleh daripada pusat kawalan dan rawatan seperti hospital Covid-19 serta pusat kuarantin yang sudah diwartakan di seluruh negara.

“Kementerian melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan agensi lain berkaitan telah mengambil langkah perlu bagi mengatasi kekangan kecekapan pelupusan ini namun masih mempunyai tangguhan (backlog) sisa buangan klinikal di Malaysia.

“Setakat ini, sebanyak 12 insinerator, empat ketuhar gelombang mikro dan satu ozonator telah dilesenkan di seluruh negara untuk menguruskan buangan terjadual SW 404 ini dengan kapasiti keseluruhan 5,168.05 tan metrik.

“Nilai ini masih mampu untuk menampung penjanaan sisa klinikal semasa iaitu 4,394.37 tan metrik,” katanya.


Pengarang :