BUDAYARENCANA

Katrina

Oleh Lucy M

Ilustrasi Matarojit

TIADA yang salah hidup tanpa ayah, tapi lahir tanpanya, buat kebanyakan orang; itu dosa dan bencana. Katrina mahu tahu di manakah ayah jahanamnya – masih dalam negarakah, sudah matikah, apakah bentuk misainya; soalan-soalan sebegitu tumbuh tanpa bendungan seperti mana bulu ari-ari dan teteknya tumbuh.

Tanpa ayah sebagai sauh dan rumah api bagi mengharungi gelora hidup, seorang anak perempuan mudah menyimpulkan semua lelaki tak bertanggungjawab, dayus dan penipu seperti ayah mereka. Katrina tak terkecuali. Seperti nama yang disanggulkan kepadanya, ada taufan muncul setiap kali dia didekati lelaki. Encik H, Margio, Andy Shauf, namakan siapa saja lelaki itu, Katrina ialah kota dinding batu dipagari rimba, penuh duri dan buah beracun, juga mergastua dan roh-roh lapar. Tidak ada mana-mana lelaki dikatakan mampu berlama-lama di sisinya tanpa mempersoal kewarasan mereka.

Tapi jika semua lelaki sama, mengapakah segelintir wanita hidup bahagia di samping lelaki sementara yang lain menderita? Soalan itu tak mudah Katrina tumpaskan.

“Tapi bukankah ibumu pelacur, Kat?” kata Maisara, ketika mereka pulang sekolah.

“Walaupun ibumu dihidangkan teh dan madu malah digendong ke katil, tak sama dengan pelacur-pelacur jalanan yang boleh disetubuhi di tangga bangunan terbiar tanpa diberi air minum terlebih dahulu, nasib para pelacur tak kira apa pun tingkatnya, selalu mirip. Sering mengandung tanpa suami.”

“Adakah kau mengatakan kebencianku terhadap lelaki tak munasabah, Maisara Abdul Said?”

“Kalau tentang ayahmu, ya aku faham. Tapi kalau buat setiap lelaki di dunia ini, itu keterlaluan, Katrina Abdullah. Kau seolah-olah mengatakan bapaku dan adik-beradik lelakiku yang lain telah melukaimu juga.”

“Siapa tahu kelak mereka juga lakukan hal yang sama?”

Maisara mendengus, matanya dibesarkan dan mereka berpisah, walaupun rumah mereka sejalan. Cerita itu (Katrina anak pelacur) belum ada sebarang pengakuan tentangnya tapi lama dulu, ibu Katrina datang ke kampung kecil di pinggir pantai, jauh dari peradaban kota metro, dan membeli sebuah rumah, Saat itu, perut ibu Katrina sudah terlalu gembung seperti bila-bila masa saja jika ia mengangkang, kantung ketubannya akan pecah mendadak.

Ibu Katrina memiliki duit yang cukup malah anehnya berlebihan. Dan rupa serta tubuhnya (yang rupawan, langsing dan menonjol dengan aset yang bukan taraf kampungan) memang mencurigakan para isteri dan janda. Ini pastinya perempuan simpanan terbuang, bisik sesama mereka. Bertitik tolak dari insekuriti dan logik separuh masak itu, keluarga kecil Katrina dijauhi jiran-jiran wanita tapi kaum lelaki di kampung itu (suami-suami tak kurang juga anak-anak bujang lelaki para perempuan cemburu itu) pula yang mempertahan pendudukan Katrina dan ibunya.

“Di manakah ayah, ibu?” tanya Katrina entah buat kali yang keberapa setelah dia sampai di rumah.

Ibunya waktu itu sedang menggoreng ikan merah pemberian Tok Imam semalam. Tok Imam, setahu Katrina sudah beristeri tiga tapi renungan lelaki tua itu selalu saja dipenuhi lendir apabila menatap wajah apatah lagi susuk tubuh ibunya. Dia ada menyampaikan cerita aneh itu kepada Maisara tapi temannya itu cuma mengangguk-angguk.

“Ambil cermin dan lihatlah. Lelaki itu ada di sana,” Itu jawapan licik yang ibunya berikan dan berulang kali telah dia dengari bahawa ayah Katrina tidak lain berada dalam dirinya sendiri.

Tapi akalnya tidak semiskin dan seterdesak itu untuk mudah menerima apa pun jawapan yang diberikan. Semasa ibunya mengaut nasi ke pinggannya, di sebalik wap yang menjelma, Katrina nyatakan hasrat terdalamnya “Kalau ibu mati nanti, aku mahu pergi mencari ayah!”

“Katrina mahu jadi pramugari?”

“Tidak, Ibu. Katrina mahu mencari Ayah!”

“Ya jadi pengembara juga mengujakan.”

“Bukan, Ibu! Mencari Ayah!”

“Katrina mahu bermula dari mana? Bali? Kaherah? Paris? Kisah cinta agung banyak terjadi di Paris.”

“Ibu…,”

Gadis itu tak tahu mengapa begitu sukar bagi ibunya bercerita tentang ayahnya. Bukanlah langsung tak ada maklumat gerangan siapakah ayahnya, tapi dia mahu bersemuka dengan lelaki itu. Katrina mahu tahu apakah di mata lelaki itu ada lendir seperti mata Tok Imam. Dan setiap kali dia bangkitkan perihal ayahnya, ibunya akan bersenandung Chiquitita. Adakah serpihan petunjuk terdapat dalam lagu tahun 1979 itu? Tapi apa? Bukankah ia cuma mengandungi pujukan melepaskan lara asmara agar kembali berani bercinta? Apakah sebenarnya ibunya membenci ayahnya? Adakah ayahnya memang lelaki durjana?

Malam itu, Katrina bermimpi menaiki tubuh seorang lelaki dan bermain kuda tunggangan. Keseronokan dirasai Katrina bukan alang-kepalang. Dia ketawa seperti tak pernah ketawa dan bernyanyi seperti tak pernah bernyanyi. Wajah lelaki itu tidak kelihatan tapi bau badannya, suaranya yang dalam dan lebat rambutnya, begitu familiar dan mengasyikkan

“Rambut lelaki itu hitam berkilat, ibu. Mungkinkah itu ayah?”

“Mungkin juga itu setan!”

“Mungkin Katrina memang anak setan!” Katrina capai begnya, hentak kakinya dibisingkan dan dia keluar rumah tanpa menyalam tangan ibunya. Sedikit pun tumpuannya tidak muncul di sekolah kerana perutnya lapar dan hatinya masih pedih tersiat mengingati komentar terhadap mimpi indahnya. Pada waktu rehat, Maisara membawanya makan di kantin bagi menghapus salah faham yang berlaku sebelumnya. Memang Katrina lapar tapi mi goreng yang dijamahnya terasa tawar dan kelat.

“Mungkin aku memang keterlaluan selama ini, Mai. Mungkin kebencianku itu sebenarnya rasa rinduku.”

“Tapi Kat, pernahkah kau bayangkan jika ayahmu itu tak seperti apa yang kau gambarkan?”

“Apa maksudmu?”

“Bagaimana jika ayahmulah yang sebenarnya mahukan kau hidup jauh daripadanya?”

“Aku pernah memikirkan tentang kemungkinan itu, Mai! Tapi kerana ibuku mengelak daripada menjawab soalan-soalanku, hatiku terus membenci dan berharap.”

Katrina tidak terus balik ke rumah apabila tamat waktu sekolah. Dia berjalan menyusuri pantai. Beberapa nelayan dilihatnya membaiki tubuh perahu dan jaring pukat. Gadis itu memanjat satu batu besar setelah menghabiskan secawan air kelapa, dan di puncak, dia menanggalkan tudungnya agar bayu laut menyingkir lekit keringat dari wajah dan rambutnya. Buang sekali perasaan ini, pinta gadis menyedihkan itu tapi angin hanya bertiup kerana ia mahu bertiup, bukan kerana seorang gadis meratapi ketiadaan ayahnya.

Nekad – Katrina mahu terus merajuk tapi sampai bila? Sepuluh malam? Dua belas tengah malam? Tiga pagi? Katrina berbaring, dahinya berkerut, dia ingin menjerit, tapi segan dan malu. Suara Maisara terngiang kembali “Syurga ada di bawah telapak kaki ibu, Kat! Tapi kehidupan ada di bahu ayah.”

Dada Katrina kembang kempis dan kepalanya makin serabut. Air matanya yang cuba ditahan, mengalir jua. Katrina pejam mata dan bayangkan dirinya berlari di padang tulip. Jauh di hadapan, membelakangkan kincir angin dan matahari, ada ayah dan ibunya sedang menunggu.

 

 

 


Pengarang :