Foto Facebook Persatuan Bolasepak Selangor
AGENDASUKANKINI

MB ucap takziah, bekas jurulatih Selangor meninggal dunia

SHAH ALAM, 21 SEPT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengucapkan takziah kepada bekas jurulatih pasukan bola sepak Selangor Ken Worden yang meninggal dunia semalam.

Dalam hantaran di Twitter rasminya malam tadi, beliau berkata Worden, 78, yang juga bekas jurulatih pasukan kebangsaan amat sinonim dengan kejayaan Piala Malaysia.

“Takziah diucapkan kepada keluarga jurulatih Ken Worden yang meninggal dunia. Mendiang adalah jurulatih lagenda Merah Kuning dan pernah menjawat jawatan jurulatih pasukan kebangsaan. Nama yang seringkali sinonim dengan kejayaan Piala Malaysia,” tulisnya.

Sementara itu, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menyifatkan Worden sebagai bekas ketua jurulatih paling berjaya buat Selangor dengan memenangi Piala Malaysia sebanyak tiga kali dan satu Piala FA.

“Pihak FAS berharap semua keluarga dan rakan Ken bertabah dalam waktu sukar ini,” kata pasukan itu menambah Worden meninggal dunia di Townsville General Hospital Queensland, Australia.

Worden atau nama penuhnya Kenneth Joseph Worden, dilahirkan pada 2 Februari 1943 di Preston, England tetapi lebih menyerlah sebagai pemain dan jurulatih di Australia.

Beliau berhijrah ke Malaysia pada 1991 untuk menjadi jurulatih Selangor sehingga pasukan itu menjuarai Piala FA dan naib juara Piala Malaysia.

Beliau dilantik sebagai jurulatih kebangsaan selama dua tahun mulai Januari 1992 hingga penghujung 1993 dan menjuarai Kejohanan Jemputan Vietnam dan Piala Jakartaraya 1992 serta Pestabola Merdeka 1993.

Worden kemudian kembali ke Selangor dan menjulang Piala Malaysia pada 2002.

 


Pengarang :