Maklumat berkaitan cuaca serata Malaysia boleh dirujuk dilaman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Amaran hujan lebat di tiga daerah di Selangor, Putrajaya hingga 10 malam

SHAH ALAM, 18 JUN: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang bagi daerah Hulu Selangor, Kuala Langat dan Sepang sehingga jam 10 malam ini.

MetMalaysia dalam kenyataan di Facebook memaklumkan amaran itu turut membabitkan Putrajaya, Labuan; Melaka; Seremban, Port Dickson, Kuala Pilah, Rembau, Jempol dan Tampin di Negeri Sembilan dan Tanah Tinggi Cameron, Pahang.

Kawasan lain adalah Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling di Kedah; Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim di Perak; Miri, Marudi dan Limbang di Sarawak serta Kuala Penyu dan Beaufort di Sabah.

Menurut MetMalaysia amaran itu dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my, media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :