BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Selangor dijangka terima pelaburan RM3 bilion bagi suku kedua tahun ini

KLANG, 1 JULAI: Selangor dijangka menerima pelaburan RM3 bilion bagi suku kedua tahun ini berdasarkan potensi pelaburan ketika lawatan ke Korea Selatan pada Jun lalu.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Kim berkata sekirannya pelaburan itu berhasil, ia akan membantu negeri meraih RM6 bilion sekali gus mengatasi angka pelaburan pada 2021.

“Potensinya lebih RM3 bilion tetapi itu cuma potensi dan kita menunggu keputusan akhir dari pihak pelabur yang berminat.

“Buat masa ini kita berpuas hati dengan perkembangan ini. Bagi penggal pertama tahun ini kita sudah memperoleh RM3 bilion,” katanya.

Bercakap selepas mengedar kupon haiwan korban kepada 21 surau di Madrasah Darissalmiah disini hari ini, Chang Khim yakin sasaran negeri meraih potensi pelaburan sehingga RM28 bilion tahun ini dapat dicapai.

“Disebabkan Covid-19, pada 2021 kita memperoleh hanya RM7.5 bilion dan jika dibanding pada tahun-tahun sebelumnya kita memperoleh lebih dari angka itu.

“2018 hingga 2020 setiap tiga tahun ini kita peroleh lebih RM17 bilion tetapi disebabkan pandemik jumlahnya menurun,” katanya.

Pada bulan lalu, Dato’ Menteri Besar mengadakan lawatan ke Korea Selatan bagi meneruskan misi pelaburan negeri selepas terhenti hampir dua tahun.

Lawatan Dato’ Seri Amirudin Shari ke negara yang terkenal dengan fenomena “halyu” K-Pop diiringi EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim.

Dalam lawatan itu beliau bersama Chang Khim berpeluang menemui beberapa syarikat yang telah menyatakan hasrat untuk melabur di Selangor dan berkongsi kejayaan Kerajaan Negeri.


Pengarang :