Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

HARAPAN desak henti serang badan kehakiman, siasat ugutan

SHAH ALAM, 20 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) mengesa parti politik terutamanya Umno untuk menghentikan serangan ke atas institusi kehakiman.

Majlis Presiden HARAPAN berkata serangan itu semakin menjadi-jadi apabila proses perbicaraan rayuan Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International hampir ke penghujungnya.

“Malah serangan-serangan ini khususnya dari kalangan penyokong Umno dan ‘cybertroopers’ semakin bersifat ugutan termasuk ugutan bunuh terhadap Ketua Hakim Negara.

“Ugutan mencedera atau membunuh ini adalah kesalahan-kesalahan jenayah di sisi undang-undang termasuk di bawah Kanun Keseksaan.

“Oleh itu, HARAPAN menyokong kenyataan Ketua Polis Negara bahawa mereka yang mengugut untuk mencedera atau membunuh Ketua Hakim Negara akan disiasat dan dibawa ke muka pengadilan.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohammad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

HARAPAN menegaskan bahawa kebebasan institusi kehakiman mesti dipertahan sepanjang masa agar badan tersebut kekal konsisten sebagai salah satu tunggak utama dan tiang seri negara.

“Kami turut memberi peringatan tegas bahawa pimpinan parti-parti politik terutama Umno perlu menghentikan serangan-serangan ke atas institusi kehakiman dan membenarkan proses perbicaraan berjalan hingga ke penghujungnya,” menurut kenyataan itu lagi.


Pengarang :